Usia 1,600 Tahun Tetapi Tidak Karat, Tiang Besi Ini Dipercayai Dibina Guna Teknologi Yang Sudah Hilang

Kompleks Masjid Quwwat-ul-Islam di Delhi, India merupakan rumah kepada satu keajaiban purba iaitu sebatang tiang besi berusia 1,600 tahun yang memiliki ketahanan terhadap pengoksidaan (karat).

Memetik laporan Oddity Central, Tiang Besi Qutub Minar ini berketinggian 7.21 meter, diameter sebesar 41 sentimeter dan berat sebanyak enam tan.

Tiang ini dipercayai telah didirikan ketika pemerintahan Chandragupta II iaitu salah seorang maharaja yang paling berkuasa ketika pemerintahan Empayar Gupta.

Walaupun ia telah menghabiskan kira-kira satu alaf dan setengah di persekitaran luar, tiang besi ini tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa ia bakal berkarat.

Para saintis dan tukang besi dari seluruh dunia sudah membuat spekulasi tentang sifat luar biasa Tiang Besi Qutub Minar ini selama berdekad-dekad lamanya sehingga mereka akhirnya merungkai misteri itu pada tahun 2003.

Misawite

Sumber: Wikimedia Commons

Terdapat suatu ketika di mana orang ramai percaya ia diperbuat daripada besi misteri yang tidak berasal dari bumi manakala ada juga yang membuat spekulasi tiang besi ini dibina menggunakan teknik futuristik yang hilang ditelan zaman.

Teori kedua itu secara teknikalnya tepat seperti yang dibentangkan oleh pakar metalurgi di Indian Institute of Technology Kanpur dalam kertas kajian yang diterbitkan dalam jurnal Current Science.

Penulis bersama kajian tersebut iaitu R Balasubramanian menggelarkan tiang itu sebagai bukti nyata kepada kemahiran ahli metalurgi ketika zaman India purba.

Beliau menjelaskan bahawa struktur besi tempa itu mempunyai satu lapisan perlindungan yang dikenali sebagai misawite. Misawite ialah sejenis besi oksihidroksida amorfus yang membentuk penghadang dengan melekat sebelah antara muka di antara permukaan besi dan karat.

Untuk pengetahuan anda, pembentukan misawite ini adalah berpunca daripada kandungan fosforus tinggi dalam besi. Besi tempa yang digunakan untuk membina Tiang Qutub Minar mengandungi sebanyak satu peratus fosforus sedangkan besi moden mempunyai kandungan fosforus di bawah 0.05%.

Berbeza dengan tukang besi zaman sekarang yang mengeluarkan fosforus daripada besi untuk mengelakkan logam itu pecah, Dr. Balasubramaniam menjelaskan bahawa tukang besi pada zaman dahulu akan menyimpan fosforus di dalam besi.

Selepas itu, mereka akan ketuk tiang besi itu dengan tukul untuk menolak fosforus daripada bahagian teras ke permukaan logam. Kesannya, besi itu akan jadi lebih kuat dan ia akan membentuk penghadang misawite.

Ancaman manusia pada Tiang Besi Qutub Minar

Sumber: Wikimedia Commons

Sama seperti apa yang berlaku terhadap monumen-monumen purba, tiang ini sangat terdedah kepada manusia. Dengan reputasinya yang dipercayai membawa tuah kepada sesiapa yang berjaya melilitkan tangan dan menyentuh struktur besi ini dengan hujung jari mereka, bahagian tiang berdekatan tapaknya sudah mula berubah warna.

Walaupun misawite ini sangat bagus dalam melindungi besi daripada berkarat, lapisan ini sangat nipis. Kepercayaan melilitkan tangan itu juga telah menyebabkan banyak pakaian bergesel dengan tiang besi tersebut dan ia sekali gus menghakis benda yang sepatutnya melindungi monumen berkenaan daripada berkarat secara tidak sedar.

Pihak berkuasa menyedari perkara tersebut dan mula mendirikan pagar pelindung di sekeliling tiang itu. Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: