Turkmenistan, Negara Paling Kurang Dikunjungi Di Dunia Oleh Pelancong

Sumber: UNCTAD

Atas muka Bumi pada ketika ini terdapat sekitar 195 buah negara dan antara yang paling kurang dikenali adalah Turkmenistan.

Mungkin disebabkan oleh prinsip negara ini sendiri menyebabkan negara yang terletak di Asia Tengah tidak begitu menyerlah.

Turkmenistan terletak di antara Uzbekistan, Iran, Kazakhstan dan Afghanistan serta merupakan sebuah negara yang diperintah oleh Kesatuan Soviet suatu ketika dahulu. Populasi negara ini seramai 6.03 juta orang dan sebahagian besarnya beragama Islam iaitu 93.7%

Berikut merupakan 8 fakta menarik dan pelik tentang negara Turkmenistan yang ramai tak tahu.

1. Negara padang pasir

turkmenistan-negara-paling-kurang-dikunjungi-di-dunia-oleh-pelancong
Gurun Karakum
Sumber: Wikipedia

Sebenarnya, Turkmenistan merupakan sebuah negara yang mana mencapai hingga 70% daripada wilayahnya adalah padang pasir. Pasti anda menyedari bahawa sebahagian besar daripadanya dilitupi dengan pasir jika anda pernah melawat negara ini.

Difahamkan, ia merupakan satu ciri geografi yang agak unik. Padang pasir ini adalah salah satu gurun yang paling subur di dunia dan diberi nama Gurun Karakum.

Menariknya, sekitar 30 juta tahun lalu, seluruh kawasan ini sebenarnya adalah sebuah lautan yang tersangat luas.

2. Paling kurang dikunjungi

turkmenistan-negara-paling-kurang-dikunjungi-di-dunia-oleh-pelancong
Sumber: World Nomads

Dari segi pelancongan, negara Turkmenistan adalah antara salah sebuah negara yang paling kurang dilawati di seluruh dunia.

Dilaporkan pada tahun 2012, hanya 8,900 pelancong mengunjungi negara ini. Pada tahun 2018, jumlah itu hanya bertambah sedikit kepada 13,000 pelancong.

Jumlah ini tersangat rendah jika dibandingkan dengan negara kita, Malaysia yang menerima sekitar 25.8 juta pelancong pada tahun 2018. Jumlah ini adalah hampir 2,000 kali ganda berbanding Turkmenistan.

Namun begitu, Turkmenistan bukannya kekurangan tempat menarik tetapi antara salah satu sebab utama adalah kerana proses visa negara ini yang mengambil masa lama untuk disiapkan serta sangat mahal.

3.Penggunaan internet terhad

turkmenistan-negara-paling-kurang-dikunjungi-di-dunia-oleh-pelancong
Sumber: RT

Sama seperti China, sebahagian besar daripada penggunaan internet dan aplikasi yang popular di seluruh dunia disekat daripada digunakan.

Sebagai contoh aplikasi seperti Instagram, Facebook dan Youtube tidak boleh dilayari di Turkmenistan. Jika anda mengunjungi negara ini, anda masih boleh menggunakan aplikasi tersebut melalui VPN, tetapi ia akan dikesan oleh pihak kerajaan Turkmenistan.

Tidak kurang yang mengatakan bahawa Turkmenistan tidak mahu dunia luar mengetahui terlalu banyak tentang mereka. Begitu juga sebaliknya, kerajaan Turkmenistan tidak mahu rakyat mereka tahu terlalu banyak tentang dunia luar.

4. Bandar paling padat bangunan marmar

turkmenistan-negara-paling-kurang-dikunjungi-di-dunia-oleh-pelancong
Saparmurat Turkmenbashi Palace Bagt Koshgi
Sumber: Caspian News

Ibu negara Turkmenistan, iaitu Ashgabat, tercatat dalam Rekod Dunia Guinness kerana memiliki kepadatan bangunan marmar tertinggi di seluruh dunia.

Bandar ini lebih dikenali kerana penuh dengan jalan raya yang luas dan air pancur. Bukan itu sahaja, ketika pemerintahan bekas presiden Sappar-murad Niyazov hasil daripada ledakan pembinaan bangunan, setiap patung dan bangunan yang ada di bandar itu berwarna putih berkilau.

Perkara ini berlaku pada tahun 1991, selepas negara ini mendapat kemerdekaan dari Kesatuan Soviet.

5. Sangat mementingkan pendidikan

turkmenistan-negara-paling-kurang-dikunjungi-di-dunia-oleh-pelancong
Sumber: Eurasianet

Perkara yang sangat penting selain amat dititikberatkan di Turkmenistan adalah pendidikan dan celik huruf. Undang-undang dalam negara ini mewajibkan setiap kanak-kanak untuk bersekolah.

Kerajaan Turkmenistan berasaskan bahawa ini merupakan cara terbaik bagi mengekang segala jenis eksterisme dalam negara. Malah, perkara ini munasabah kerana memiliki komuniti yang sangat rapat.

Oleh itu, Turkmenistan mahu memastikan rakyat mereka tentang negara dan tahu apa sebenarnya yang dimahukan oleh kerajaan.

6. Undang-undang pelik

Sumber: The Trip

Pada tahun 1991, Turkmenistan mempunyai presiden pertama seperti yang dijelaskan dia atas, iaitu Sappar-murad Niyazov. Beliau memerintah negara ini sehingga tahun 2006.

Niyazov terkenal ketika memegang kuasa sebagai pemerintah kerana mewujudkan pelbagai undang-undang yang agak tidak masuk akal.

Disebabkan perkara ini, Turkmenistan dikenali sebagai negara mempunyai undang-undang yang pelik seperti pengharaman opera, penggunaan gigi emas, dan pakai berasaskan spandex tidak dibenarkan.

Beliau mendasarkan banyak undang-undangnya adalah untuk menjaga budaya Turkmenistan. Namun di sebalik undang-undang pelik ini, sebahagian besar daripada alasannya adalah untuk mendapatkan kawalan penuh.

Bahkan juga, Niyazov menukar hari dalam seminggu berpadanan dengan nama ahli keluarganya.

Kebanyakan daripada undang-undang pelik ini kemudiannya telah diubah oleh presiden baharu. Namun begitu, muncul pula undang-undang pelik lain seperti kereta berwarna hitam diharamkan. Manakala, kereta berwarna putih dibenarkan kerana dikatakan membawa tuah.

7. Kaya minyak dan gas

Sumber: Silicon

Turkmenistan memiliki rizab minyak dan gas ke-6 terbesar di dunia. Berdasarkan rekod yang telah dicatat pada Januari 2016, negara ini mempunyai anggaran simpanan gas asli sekitar 7.5 trilion meter padu.

Negara ini merupakan pemegang rizab gas asli keenam terbesar di seluruh dunia dan salah satu antara 15 pengeluar terbesar gas asli kering pada tahun 2015, menurut jurnal minyak dan gas.

Jualan minyak Turkmenistan merudum dengan begitu drastik dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Malah, ekonomi mereka semakin bergelut berikutan penurunan pembelian oleh China dan Rusia.

8. Pelancongan yang sangat mahal

Monumen Kemerdekaan, Ashgabat
Sumber: World Travel Guide

Jika anda berniat ingin mengunjungi negara ini, ada berita yang kurang menyenangkan dari Turkmenista. Negara paling mahal di Asia Tengan dan salah satu negara yang paling susah untuk dilawati di dunia adalah Turkmenistan.

Seperti yang dinyatakan di atas, salah satu sebab mengapa ini berlaku kerana proses mendapatkan visa yang sangat lama.

Anda perlu menempah pakej perlancongan dan harga yang ditawarkan sekitar RM8,000 untuk mendapatkan visa di Turkmenistan.

Oleh sebab itu, pelawat tidak dibenarkan melawat secara bersendirian. Sama seperti Korea Utara, pelawat perlu diiringi oleh pemandu pelancong pada setiap masa.

9. Kawah api Darvaza

turkmenistan-negara-paling-kurang-dikunjungi-di-dunia-oleh-pelancong
Kawah gas Darvaza
Sumber: UNFILTERED TRAVELLING

Kawah gas Darvaza yang juga dikenali sebagai “Pintu Neraka” atau “Gerbang Neraka”. Ia merupakan medan gas asli yang runtuh ke dalam sebuah gua berhampiran Darvaza, Turkmenistan.

Difahamkan, ahli geologi Soviet mungkin sengaja untuk membakarnya bagi mencegah penyebaran gas metana dan ia dikatakan terus terbakar sejak tahun 1971. Namun begitu, kebenaran mengenai perkara ini dipertikaikan.

Mempunyai keluasan 5,350 meter persegi dengan diameter 69 meter serta kedalaman kawah gas ini mencapai sehingga 30 meter.

Persekitaran di kawasan ini juga terkenal bagi perkhemahan padang pasir. Kerajaan Turkmenistan berharap dengan wujudnya kawah itu, ia akan menjadi tarikan pelancong yang popular dalam negara.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: