Tahun hadapan, Sukan Olimpik akan berlangsung di Tokyo, Jepun.
Kesemua negara yang berdaftar dalam IOC (kecuali Rusia yang dikenakan sekatan kerana ujian kes doping) akan ke negara Matahari Terbit itu dari 24 Julai hingga 9 Ogos 2020.
Dalam acara ini menjadi tumpuan seluruh dunia, tidak mengira negara, bangsa, agama dan ideologi, terdapat satu isu besar yang bakal mengundang kontroversi sekaligus mencacatkan kemeriahan sukan ini.
Isu transgender dalam sukan wanita.
Pergerakan dalam perjuangan hak asasi manusia dalam golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) telah diperjuangkan semenjak peristiwa Stonewall pada tahun 1969 lagi.
Pun begitu isu ini mendapat momentum apabila Mahkamah Agung Amerika Syarikat membenarkan perkahwinan sejenis pada tahun 2015.
Belanda merupakan negara pertama di dunia yang membenarkan perkahwinan sejenis ini, pada tahun 2001.
Selepas isu ini mendapat kejayaan, golongan LGBT mahu menceburi pelbagai lagi ruang untuk mereka mendapat tempat. Ini termasuklah dalam bidang sukan.
Umum mengetahui bahawa sukan adalah acara fizikal dan seperti yang kita tahu, secara biologinya, tubuh badan lelaki dan wanita tidak sama, sama ada dari segi kekuatan otot, tulang, mahupun dari segi saiz dan ketumpatan badan.
Isu ini menjadi hangat apabila pelumba transgender, Rachel McKinnon menjadi juara dunia dalam acara lumba basikal.

Perkara ini menimbulkan persoalan, adakah persaingan dalam acara sukan bahagian wanita nanti akan berlaku adil?
Menurut badan dunia iaitu Badan Olimpik Antarabangsa (IOC), syarat baru untuk bertanding dalam acara wanita ialah dengan mengehadkan kadar testosterone kepada 2.7 nmol/L.
Purata atlet lelaki mempunyai 8.4 nmol/L, sebagai perbandingan.
Akan tetapi beberapa bekas atlet wanita seperti Paula Radcliffe, Sharron Davies dan Kelly Holmes menganggap ujian testosterone ini sebagai “tidak saintifik” disamping tidak dapat membuktikan apa-apa.
“Tubuh badan wanita masih lagi berbeza daripada tubuh badan lelaki, dan ia sebenarnya memberi kelebihan kepada atlet transgender untuk menang, dan menyebabkan atlet wanita ditindas,” kata Sharron Davies dalam temubualnya dalam rancangan BBC.
Tetapi menurut McKinnon, kenyataan Sharron itu seolah-olah mahu “menidakkan hak asasi transgender untuk bertanding dalam sukan.”
Kata McKinnon lagi, sukan ialah acara fizikal dan tak semua atlet mempunyai badan yang sama.
“Purata ketinggian wanita Belanda ialah 5 kaki 2 inci, sementara purata ketinggian wanita Indonesia pula ialah 4 kaki 10 inci, jadi di situ pun sudah tidak adil,” kata McKinnon dalam satu temuramah.
Perdebatan ini juga menyebabkan ramai bantahan dari kalangan wanita, terutamanya mereka yang menceburi bidang sukan, serta ibu-ibu yang mempunyai anak yang terlibat dalam acara sukan.
“Ada sukan yang wanita mempunyai kelebihan, seperti gimnastik artistik mahupun acara renang berirama, namun sukan yang melibatkan fizikal seperti lumba basikal, olahraga, atau bola sepak, sememangnya akan memberi kelebihan kepada atlet transgender,” kata Kelly Holmes, seorang lagi bekas atlet wanita yang membantah peraturan baru ini.
Pun begitu, atlet seperti Kelly Holmes dan Sharron Davies ini sering dicemuh sebagai “homofobik” dan “transfobik” oleh golongan social justice warrior (SJW) yang tidak mahu mengalah dalam isu ini.
Berkenaan dengan isu ini, harus diingat bahawa LGBT ini secara totalnya tidak diterima di banyak negara di seluruh dunia, terutamanya negara-negara Islam, bahkan negara-negara bukan Islam seperti Kenya dan Uganda juga menolak perkara ini.
Jika dikumpulkan pendapat seluruh dunia berkenaan isu ini, sudah pasti ini tiada isu lagi.
Pun begitu para globalis dengan agenda mereka yang mahu mewujudkan “dunia tanpa sempadan”, yang akan melahirkan keadilan kepada semua kaum dan jantina, nampaknya telah keliru dengan definisi adil yang sebenar.
Adil – ialah meletakkan perkara yang sepatutnya dan bukan samarata. Jika kita mahu menyamaratakan semua orang maka ia adalah perkara yang mustahil dan semua orang tidak sama dengan orang lain.
Menurut Pengarah Badan Anti-Keganasan Dalam Sukan, University of Bath, Dr Sheree Bekker berkata, “tidak ada ujian yang boleh mengabsahkan tentang kadar testosterone seseorang mampu mengurangkan kekuatan fizikal, bahkan ramai atlet yang melihat ini sebagai cubaan masuk campur dalam hal peribadi.”
Persoalan di sini, adakah pihak yang mendakwa diri mereka “progresif” ini memahami sains sukan dan hanya beremosi dengan perjuangan hak asasi manusia mereka semata-mata?
Dan bagaimana pula dengan penerimaan negara lain dalam acara sukan terbesar dunia ini yang secara jelas menolak ideologi ini?
Perkara ini harus ditolak kerana ia bukan sahaja tidak adil dalam sukan, bahkan ia melibatkan kecederaan dan nyawa atlet wanita yang lain.
Dalam acara MMA, peserta transgender, Fallon Fox telah menyepak Tamikka Brent sehingga berlaku gegaran otak dan keretakan pada tengkoraknya.
Jika ia melibatkan kematian, bagaimana reaksi orang ramai apabila perkara ini berlaku? Adakah kita menjadi transphobik kerana marah atas kematian tersebut?
Agenda globalis seperti ini harus dibantah dan ditolak, kerana ia tidak memberi keadilan seperti mana yang mereka dakwa.
Atau jika atlet transgender mahu juga bertanding, maka harus wujudkan acara yang berasingan dengan wanita untuk persaingan yang lebih adil dalam sukan.
Untuk baca berkenaan sukan, boleh baca di: