Traktor Tanpa Pemandu, Hanya Kawal Guna Telefon Sahaja

john deere

Ini merupakan traktor pandu sendiri yang pertama di dunia mampu dikawal hanya menggunakan telefon bimbit.

Syarikat peralatan pertanian gergasi, John Deere menghasilkan traktor dinamakan 8R itu mampu beroperasi selama 24 jam sehari.

Syarikat pengeluar itu turut mendedahkan penghasilan berkenaan pada hari pertama Pameran Elektronik Pengguna (CES) yang berlangsung di Las Vegas.

Inovasi terbaharu ini bersedia untuk membantu petani mengatasi kekurangan buruh, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar.

Dilengkapi dengan enam pasang kamera dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membolehkannya menyemak kedudukan secara terperinci. Traktor ini akan berhenti secara automatik dan menghantar isyarat amaran sekiranya mengesan haiwan atau objek di laluannya.

John Deere menjelaskan bahawa kamera dan komputer untuk pembajakan secara automatik boleh dipasang pada traktor sedia ada itu hanya dalam masa sehari.

Katanya lagi, pihaknya akan membekalkan sehingga 20 mesin pada tahun ini dengan pengeluaran dipertingkatkan pada tahun-tahun akan datang.

Namun, firma itu masih belum memutuskan sama ada traktor itu akan dijual terus atau ditawarkan sebagai langganan.

John Deere masih belum mengumumkan harga rasmi traktor itu.

Walaupun begitu, beberapa wakil firma berkenaan menjangkakan ia adalah kira-kira 10 peratus daripada kos peralatan atau hampir AS$50,000 (RM210,105) apabila dipasarkan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: