Tradisi Dan Cara Sambutan Hari Ibu Di Serata Dunia

Di Malaysia, sambutan Hari Ibu dirayakan pada 9 Mei setiap tahun. Kebiasaannya, perayaan ini disambut dengan memberikan penghargaan atau berbagi hadiah kepada ibu masing-masing.

Bukan sahaja di Malaysia, negara lain turut menyambut sambutan Hari Ibu walaupun pada tarikh yang berbeza dengan tradisi dan cara yang tersendiri.

India

Sumber: Travel Begins At 40

Setiap Oktober, para penganut Hindu menghormati dan memuja Durga, Dewi para ibu pada Durga Puja, sebuah sambutan yang disambut selama 10 hari lamanya.

Perayaan ini dikatakan dikenali pada abad ke-16 dan dianggap sebagai sebuah upacara keagamaan dan masa untuk diluangkan bersama keluarga. Hari Ibu di India berkisah tentang Durga yang pulang ke rumah ibu bapanya bersama anak-anaknya.

Hari Ibu di India disambut secara besar-besaran oleh para keluarga yang menghabiskan masa berhari-hari menyediakan makanan, mengumpulkan hadiah dan menghias rumah sempena perayaan tersebut.

Perancis

Pada tahun 1920, kerajaan Perancis mula menganugerahkan pingat kepada ibu dari golongan keluarga yang besar.

Hal ini adalah sebagai tanda penghargaan kerana telah menambahkan populasi setelah kehilangan banyak nyawa ketika Perang Dunia Pertama.

Setelah Perang Dunia Kedua berakhir, pihak kerajaan Perancis memutuskan bahawa hari Ahad terakhir pada bulan Mei sebagai Hari Ibu di Perancis.

Jepun

Sumber: The Guardian

Berikutan daripada Perang Dunia Kedua, Hari Ibu di Jepun asalnya bertujuan untuk memujuk hati para ibu yang kehilangan anak daripada peperangan tersebut.

Bunga teluki atau bunga carnation sering didapati pada perayaan yang disambut pada bulan Mac ini sebagai simbol kemanisan dan kekuatan para ibu di Jepun.

Pada asalnya, anak-anak di Jepun memberikan bunga teluki berwarna merah kepada ibu mereka yang masih hidup dan yang berwarna putih kepada yang telah meninggal dunia.

Kini, bunga teluki berwarna putih telah menjadi warna tradisi pada Hari Ibu di Jepun.

United Kingdom

Mothering Sunday jatuh pada hari Ahad keempat Lent, di mana para keluarga berkumpul bersama untuk menghadiri upacara di gereja.

Pada awal abad ke-20, upacara Mothering Sunday telah berubah menjadi sebuah tradisi keluarga untuk berkumpul bersama di rumah.

Kini, perayaan ini masih menjadi upacara keagamaan dan banyak gereja yang membekalkan bunga daffodil kepada anak untuk berikan kepada ibunya. Anak-anak perempuan turut menyajikan kek buah kepada ibu-ibu mereka.

Ethiopia

Sumber: Pinterest

Festival Antrosht yang diadakan pada hari terakhir musim hujan setiap awal musim luruh itu didedikasikan kepada para ibu di Ethiopia.

Setelah cuaca menjadi cerah kembali, para ahli keluarga akan berkumpul bersama untuk menjamu selera dan menyambut perayaan Hari Ibu.

Anak-anak perempuan kebiasaannya akan membawa sayur-sayuran dan keju manakala anak-anak lelaki akan memberi daging.

Mereka kemudiannya akan memasak, menyanyi, mempersembahkan tarian yang menceritakan kisah kebanggaan keluarga mereka bersama-sama.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: