Tinggal Bersama Si Mati, Ini Budaya Suku Kaum Toraja Di Indonesia

Perkara ini mungkin kedengaran pelik dan asing bagi masyarakat kita yang mengamalkan budaya serta kepercayaan berbeza. Bila disebut mengenai ajal dan kematian, ia semestinya melibatkan ‘afterlife’ atau kehidupan selepas mati. Orang yang tidak bernyawa itu tidak tergolong dalam kehidupan seharian bagi mereka yang masih bernyawa dan perlu teruskan perjuangan.

Apa yang mendorong suku kaum Toraja ini sehingga wujudnya budaya unik ini di kalangan masyarakat setempat?

Sebelum itu, mari kita kenali dan fahami asal-usul mereka. Terletak di Sulawesi, Indonesia, kaum Toraja ini terdiri oleh masyarakat orang asli. Kisah mereka mirip dengan kebanyakan sejarah suku kaum Asia Timur yang lain; budaya yang indah dan unik serta adat resam yang luar biasa.

Bagi kefahaman kaum ini, roh dan jiwa si mati sentiasa kekal bersama mereka. Kehidupan baru si mati tidak hanya berakhir dengan keberadaan mereka di rumah, tetapi mereka juga diberi makan. Jasad ini akan menyertai keluarga ketika sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Mereka dianggap sedang ‘menikmati’ makanan bersama dengan yang lain.

Hal ini kerana, apabila seorang ahli Toraja meninggal dunia, mereka tidak dikebumikan atau dibakar. Sebaliknya, mereka dijaga oleh keluarga mereka untuk terus menjalani rutin harian seolah-olah masih bernyawa. Mayat tersebut akan tinggal di rumah sehingga pengebumian mereka, biasanya beberapa bulan atau tahun selepas kematian mereka.

Bukan itu sahaja, jasad si mati juga tidak boleh ditinggalkan sendirian dan lampu perlu sentiasa dipasang apabila gelap. Ahli keluarga berasa bimbang bahawa jika mereka tidak menguruskan jenazah dengan betul, roh orang tersayang mereka akan memberi mereka masalah kelak.

Mengikut tradisi, daun dan herba khas akan disapu pada badan mayat tersebut untuk mengekalkan keadaannya buat masa yang lama. Tetapi pada masa ini, bahan kimia pengawet iaitu formalin disuntik sebagai gantinya. Ia meninggalkan bau kimia yang kuat di tempat kediaman si mati.

Berdasarkan kepercayaan mereka, pengebumian jasad adalah proses di mana roh akhirnya meninggalkan Bumi untuk memulakan perjalanan yang panjang dan sukar ke Pooya, iaitu peringkat akhir kehidupan akhirat, di mana jiwa akan melalui penjelmaan semula (reincarnate).

Kerbau dipercayai menjadi pembawa roh ke akhirat dan itulah sebabnya keluarga mengorbankan seberapa banyak kerbau yang mereka dapat, untuk membantu menjadikan perjalanan lebih mudah bagi si mati tersebut.

Suku kaum Toraja jarang dikebumikan di dalam tanah. Sebaliknya, mereka dikebumikan di kubur keluarga atau ditempatkan di dalam atau di luar gua; kerana kaum ini dikelilingi kawasan pergunungan, terdapat banyak gua-gua yang tidak berpenghuni.

Tradisi dan budaya unik serta menarik ini semestinya membuka mata kita yang membacanya. Apa pendapat anda mengenai kepercayaan antara kehidupan sebelum dan selepas mati ini?

Baca lebih banyak artikel menarik di sini:

Sumber: BBC