‘TikToker’ Berusia 14 Tahun Ini Mengaku Tikam Kakak Sendiri

Seorang remaja perempuan dari Pennsylvania yang telah didakwa atas kesalahan membunuh kakaknya sendiri dikatakan mempunyai keinginan untuk bunuh diri dan mempunyai kecenderungan untuk membunuh.

Pada 22 Februari lalu, Claire Miller yang berusia 14 tahun itu telah menelefon polis setelah membunuh Helen, kakaknya yang berusia 19 tahun yang juga merupakan seorang pesakit celebral palsy yang menggunakan kerusi roda.

Dalam panggilan telefon tersebut, Claire berulang-ulang kali memberitahu bahawa dia telah menikam kakaknya.

Setibanya polis di tempat kejadian sekitar jam 1 pagi, Claire didapati dengan keadaan bajunya yang terkena kesan darah setelah cuba untuk membasuh tangannya dengan salji.

Claire telah menunjukkan jalan ke bilik kakaknya kepada pihak polis dan mereka mendapati Helen dalam keadaan terlentang dengan mukanya yang tertutup dengan sebuah bantal yang berlumuran darah.

Apabila bantal itu dialihkan, sebilah pisau besar didapati tertancap di bahagian leher Helen berdekatan dengan dadanya.

Mereka sedaya upaya berusaha untuk menyelamatkan Helen tetapi gagal dan Helen disahkan meninggal dunia pada jam 4:13 pagi akibat daripada beberapa tikaman.

Sumber: The Netline

Kedua ibu bapa mereka dikatakan sedang tidur di bilik mereka sendiri ketika kejadian tersebut berlaku.

Claire akhirnya didakwa atas jenayah homisid di mahkamah dan dijatuhkan hukuman sebagai seorang dewasa mengikut undang-undang homisid Pennsylvania.

Polis juga telah menerima panggilan daripada saksi tidak bernama setelah Claire ditangkap yang mengatakan dia ada menghubungi Claire pada malam kejadian dan Claire memberitahu kepadanya bahawa akhir-akhir ini dia ada berfikir tentang bunuh diri dan membunuh orang.

Remaja itu juga dikatakan tidak boleh diikat jamin kerana sesiapa yang didakwa atas jenayah homisid di Pennsylvania tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

Claire Miller sangat terkenal sebagai murid yang baik dan peramah di sekolahnya. Dia juga merupakan seorang yang aktif dalam acara kokurikulum.

Bukan itu sahaja, Claire juga merupakan seorang individu yang agak terkenal di akaun laman sosial TikTok dan mempunyai lebih 20 ribu pengikut.

Setelah berita mengenai kes tersebut menular, gambar Claire mula dipaparkan di berita-berita tempatan dan perkara itu telah menarik perhatian para pengikutnya di TikTok.

Ramai pengikutnya serta merta mengenali Claire sebagai pengguna akaun TikTok bernama @spiritsandsuchconsulting dan rata-rata semua terkejut dengan berita tersebut.

Akaun TikTok miliknya kini telah dihapuskan kerana telah melanggar polisi ‘melakukan keganasan di dalam atau di luar TikTok.’

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: