Sukan merupakan sesuatu yang sangat digemari oleh semua orang di seluruh dunia. Kebiasaannya sukan permainan yang terkenal adalah seperti badminton, bola sepak, renang dan banyak lagi.
Namun begitu, masih banyak kewujudan sukan lain serta ada di antaranya agak unik dan aneh yang mungkin anda tidak pernah terfikir. Ini lima senarai sukan yang paling pelik di dunia.
1. Hoki air
Sering kita dengar berkaitan sukan hoki di padang mahupun gelangang ais, tetapi terdapat juga sukan hoki air. Juga dikenali dengan nama lain iaitu Octopush.
Hoki air bermula pada awal 1950-an dan kejohanan pertama dilakukan pada tahun 1980. Kanada pernah menjadi tuan rumah Kejohanan Hoki Dunia Bawah Air.
Caranya sama sahaja dengan permainan hoki biasa, menggunakan kayu hoki untuk memukul ‘puck’ ke dalam gol. Apa yang beza cuma segalanya dimainkan di dalam kolam renang.
Sukan ini telah berkembang ke Afrika Selatan, Australia dan Filipina. Kini, ianya juga semakin popular di Belanda, New Zealand dan Amerika Syarikat.
2. Memikul isteri
Di sebalik lelaki hebat pasti adanya wanita di sisinya. Begitu juga dengan sukan pelik ini yang memerlukan para suami berlumba sambil memikul isteri mereka sepanjang 200 meter.
Pelbagai halangan yang perlu ditempuhi dalam jarak itu seperti jalan berlumpur dan air. Sukan yang agak menghiburkan ini berasal dari Finland. .
Kejohanan Dunia Memikul Isteri bermula pada tahun 1992. Pemenang akan memenangi bir sebanyak berat isterinya. Kini, suka tersebut juga banyak dimainkan di Amerika Syarikat, Hong Kong, Estonia, United Kingdom dan Australia.
3.Tampar muka
Siapa sangka wujud sukan yang melibatkan aksi tamparan muka. Sukan ini pernah dinobatkan sebagai sukan terhebat di dunia.
Dua orang pemain akan bergilir-gilir menampar satu sama lain sehingga jatuh. Sebelum ini, Pemenang Kejohanan Tampar Lelaki 2019 di Krasnoyarsk, Rusia berjaya membawa pulang wang sebanyak 30,000 rubel Rusia (RM 1,726.41).
4. Guling keju
Sukan ini pula tidak kurang peliknya. Para peserta hanya perlu berguling menuruni kaki bukit untuk mengejar sebuah roda berisi keju di dalamnya.
Lokasi permainan ini bertempat di Gloucestershire, Bukit Cooper. Kawasan lereng bukit yang sangat curam boleh menyebabkan banyak kecederaan berlaku.
Sejarah sukan guling keju ini antara aksi yang tidak masuk akal dan berisiko kepada para pemain kerana akan mengalami kecederaan serius.
5. Extreme ironing (Mengosok baju ekstrem)
Gabungan elemen cabaran dan aktiviti kerja rumah disatukan dalam sukan ini. Keunikan aksi ekstrem mengosok baju sambil melakukan aksi lasak seperti sky diving, rock climbing dan meluncur air mendapat perhatian media.
Perkara yang menarik pihak media terhadap sukan ini adalah kerana ia sering dipersoalkan adakah sukan ini tegolong dalam kriteria sukan ataupun tidak. Selain itu, sukan ini juga sering menjadi bahan jenaka di serata tempat disebabkan oleh aksi tidak masuk akal itu.
Menarik dan pelik bukan? Antara banyak-banyak sukan pelik di dunia yang tersenarai, mana satu pilihan anda?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: