Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof telah memaklumkan beliau menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Difahamkan. usul berkenaan dikemukakan oleh bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 4 Mei yang lalu.
Perkara ini di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).
Dewan Rakyat dijangka akan bersidang sehari pada 18 Mei sebelum dijangka bersambung semula pada Julai.
Perkara ini semestinya menjadi bualan hangat dalam kalangan warganet dan ahli-ahli politik di Malaysia.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan mempersoalkan sama ada tindakan berkenaan adalah wajar.
Hal ini demikian kerana, beliau merasakan hal politik harus dibiarkan terlebih dahulu dalam keadaan negara masih bergelut dalam memerangi COVID-19 dan usaha untuk memulihkan semula negara.
“Kita semua tahu bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) dulu boleh jatuh. Kita juga tahu bagaimana Kerajaan Perikatan Nasional sekarang ini dibentuk.
Malah apabila kerajaan Perikatan Nasional dibentuk, mereka tidak ada masa ‘berbulan madu’ dengan tugas pertama Kabinet Muhyiddin ialah berhadapan dengan wabak COVID-19,” katanya.
Beliau juga berharap kerajaan diberikan masa untuk menyelesaikan misi membaik pulih negara dan biarkan rakyat bernafas seketika selepas sektor ekonomi baru sahaja dibuka semula.
Tambah beliau, rakyat tidak seharusnya diheret dalam kancah dan kemelut politik ketika ini.
Semestinya sebagai rakyat penat dengan kemelut politik yang tidak pernah henti ini. Apa-apa pun diharapkan krisis ini dapat diselesaikan dengan segera.