Bendera merupakan salah satu identiti terpenting bagi sesebuah negara, begitu juga dengan Malaysia. Jalur Gemilang menjadi lambang kebanggaan negara yang akan terus disanjungi.
Sejarah Bendera Malaysia bermula apabila Majlis Raja-Raja Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan satu Jawatankuasa pada tahun 1949 untuk membuat perakuan berkenaan dengan Bendera Persekutuan Tanah Melayu.
Pada ketika itu, satu pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. Seramai 373 orang telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini dan tiga reka bentuk terbaik telah dipilih ke peringkat akhir:

- Reka bentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang berbucu lima.
- Reka bentuk kedua hampir serupa dengan reka bentuk pertama kecuali 11 bintang berbucu lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang tersebut.
- Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru dan putih dengan bulan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.
Sebelum memilih reka bentuk bendera yang akan menjadi pemenang, Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberi pendapat masing-masing terhadap reka bentuk yang disukai oleh mereka. Pendapat umum ini telah disiarkan oleh The Malay Mail.

Tanggal 28 November 1949, keputusan telah dibuat berdasarkan suara majoriti orang ramai yang memilih reka bentuk ketiga sebagai pemenang. Ia dicipta oleh seorang arkitek kerajaan di Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah.
Pada 22 dan 23 Februari 1950, Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah bersetuju dengan reka bentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan.
Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara.
Reka bentuk tersebut telah diubah daripada warna putih pada bulan dan bintang kepada warna kuning untuk melambangkan warna diraja bagi raja-raja Melayu dan juga menambah bucu bintang kepada 11 untuk mengambil kira jumlah negeri yang ada dalam Persekutuan Tanah Melayu. Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.
Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor yang dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu dan Pegawai-Pegawai King George VI.
Penggabungan Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baharu iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira penambahan negeri-negeri tersebut.
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menandakan 14 buah negeri bagi Persekutuan Malaysia.
Walaupun Singapura berpisah dengan Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga ke hari ini. Kini jalur-jalur dan bintang berpenjuru 14 melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan yang terdiri daripada tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan juga Putrajaya.