Sudah pasti setiap negara di seluruh dunia ini mempunyai tempat bersejarah mereka yang tersendiri. Begitu juga di Malaysia yang mempunyai banyak tempat bersejarah yang terus dikagumi dan dilawati. Tempat-tempat bersejarah ini mempunyai keunikan yang tersendiri dan juga mempunyai kisah di sebalik pembinaannya.
Berikut merupakan beberapa tempat bersejarah di Malaysia:
Kota A’Famosa

Kota A’Famosa adalah sebuah kubu yang telah dibina oleh penjajah Portugis sejurus mereka menakluk Melaka pada tahun 1511. Kota A’Famosa ini dibina oleh buruh yang telah dipaksa untuk membina kubu ini atau nama rasminya Kubu Melaka (Fortaleza de Malaca). Pembinaan kota ini mengambil masa selama 5 bulan untuk disiapkan. Manakala bahan-bahan untuk membina kubu ini diambil daripada runtuhan masjid dan bangunan lain. Oleh kerana suhu panas terik pada waktu itu dan ditambah pula dengan kekurangan makanan, ramai buruh dikatakan mati ketika pembinaan kota ini.
Alfonso de Albuquerque merupakan orang yang bertanggungjawab memberi arahan atas pembinaan Kota A’Famosa ini. Pada tanggal 14 Januari 1641, penjajah Belanda telah menyerbu A’Famosa melalui pintu Santo Domingo Gate dan peristiawa ini telah mengorbankan lebih 7,000 orang akibat kebuluran, penyakit dan tembakan senjata api. Kota A’Famosa yang rosak teruk dalam pertempuran telah dibaiki. Porta de Santiago yang merupakan pintu utama telah digantikan dengan logo Syarikat Hindia Timur Belanda. Selepas itu, pihak Belanda membaiki dan mengubah suai A’Famosa dan meletakkan logo mereka di atas pintu pagar yang masih kekal sehingga kini dengan ukiran “Anno 1670”.
Kellie’s Castle

Rasanya ramai yang tahu dan maklum tentang tempat bersejarah ini iaitu Kellie’s Castle. Kellie’s Castle diibaratkan seperti Taj Mahal kerana istana ini dibina atas lambang cinta William Kellie Smith terhadap isterinya. Kellie’s Castle telah dibina pada tahun 1915 dan ia tidak dapat disiapkan sepenuhnya kerana kematian Kellie pada tahun 1926 berpunca daripada penyakit pneumonia. Istana ini mempunyai senibina yang bercirikan Scottish, Moorish dan India. Meskipun mempunyai sejarah yang tersendiri, ada yang mengatakan bahawa tempat ini mempunyai gangguan makhluk halus dimana roh Kellie’s dan keluarganya berlegar-legar di kawasan istana tersebut. Sejauh mana kebenarannya, itu perkara yang sukar untuk dipastikan.
Istana Seri Menanti

Istana Seri Menanti mempunyai keunikan yang tersendiri. Ia dibina tanpa menggunakan sebatang pun paku. Istana ini menggunakan teknik alternatif iaitu menghubungkan kayu-kayu dan tiang istana ini dengan menggunakan pasak kayu. Istana Seri Menanti dibina pada tahun 1902 dan telah siap pada tahun 1908. Istana ini mempunyai empat batang tiang seri utama dan 99 batang tiang kayu. Seni bina istana ini dipengaruhi dengan ciri-ciri budaya seni minangkabau dari Indonesia. Lokasi istana ini terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Chandi Lembah Bujang

Chandi Lembah Bujang dikatakan sebagai bahan binaan manusia yang tertua di Asia Tenggara. Chandi Lembah Bujang yang terletak di Kedah ini dikatakan dibina pada awal masihi hingga 20 masihi. Lembah Bujang mempunyai perhubungan yang sangat rapat dengan aktiviti perdagangan maritim dengan beberapa negara seperti negara China, Asia Barat dan India.
Fort Cornwallis

Fort Cornwallis yang terletak di Pulau Pinang ini telah dibina pada tahun 1786. Pembinaan yang diketuai oleh Francis Light ini telah siap dibina pada tahun 1810. Nama Fort Cornwallis diambil sempena Gabenor General India iaitu Charles Cornwallis. Tujuan kubu ini dibina adalah untuk menjadikan tempat pertahanan serangan daripada musuh. Kota ini juga mempunyai bentuk bintang lima bucu dengan keluasan 417.6 kaki persegi.
Kota Belanda

Kota Belanda telah dibina pada tahun 1670 oleh Syarikat Hindia Timur Belanda. Sebab Kota Belanda ini dibina adalah untuk menyimpan bijih timah yang mereka dapat di negeri Perak. Akan tetapi pada tahun 1690, penduduk tempatan di Perak tidak bersetuju dengan cara pihak Belanda mendapat hasil bijih timah itu. Disebabkan oleh penduduk tempatan tidak bersetuju dengan perkara sedemikian, mereka telah memusnahkan Kota Belanda tersebut.
Selepas kota itu telah dimusnahkan, Belanda telah membina semula kota tersebut pada tahun 1749. Pada waktu itu, kota ini telah mempersiapkan seramai 80 orang pengawal. Selepas tahun 1779, Kota Belanda tidak digunakan lagi kerana Belanda telah mengalihkan perhatian mereka kepada perdagangan rempah ratus di Maluku, Indonesia. Selain itu, Belanda juga sedang berhadapan dengan peperangan Napoleon di Eropah dan disebabkan itu, kota ini telah menjadi sebuah kota yang terbiar.
Itulah antara tempat dan binaan yang bersejarah terdapat di Malaysia. Tempat-tempat ini masih menerima kunjungan orang ramai yang ingin mengetahui dan melihat sendiri binaan tersebut. Sudah pasti, tempat-tempat ini akan terus menjadi sejarah yang dikagumi.