Rakyat di Afghanistan dikejutkan dengan kepimpinan baru setelah kerajaan negara itu runtuh dan kumpulan tentera yang dinamakan Taliban mula menguasai Kabul.
Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani, telah meninggalkan negara itu selepas Taliban memasuki ibu negara, Kabul, dan mengisytiharkan kemenangan selepas pertempuran hanya 10 hari.
Taliban dan Matlamatnya
Taliban merupakan kumpulan Islam yang telah memerintah Afghanistan dari tahun 1996 hingga 2001.
Mereka mengatakan bahawa mereka adalah pengikut agama Islam, tetapi kepercayaan mereka jauh lebih ekstrem daripada kepercayaan majoriti umat Islam.
Mereka telah berjuang untuk mengambil alih kawalan Afghanistan dan ingin menegakkan versi Syariah atau undang-undang Islam mereka sendiri.
Ketika pemimpin Taliban berkuasa, mereka melarang banyak perkara, termasuk pendidikan untuk kanak-kanak perempuan, televisyen, muzik dan pawagam.
Lelaki disuruh menyimpan janggut dan wanita harus memakai burka. Undang-undang dan hukuman Taliban ini menjadikan mereka tidak disenangi oleh negara lain.
Mereka yang berada di bawah kawalan Taliban boleh dihukum dengan sangat keras kerana melanggar peraturan mereka. Mereka juga telah dituduh melakukan pelbagai penderaan hak asasi manusia dan pelanggaran budaya.
Proses Penguasaan Ibu Kota Kabul Oleh Taliban
Sejak hampir 20 tahun lalu, Amerika Syarikat (AS) telah menyokong pemerintahan di Afghanistan yang mula dilaksanakan setelah berlakunya perang di sana.
Walau bagaimanapun, Presiden AS, Joe Biden, telah mengumumkan pada April 2021 bahawa semua tentera pasukan Amerika akan meninggalkan negara itu pada 11 September.
Sejak beberapa bulan yang lalu, Taliban telah mulai menguasai wilayah di seluruh Afghanistan. Akibat keberangkatan AS daripada negara itu, Taliban berjaya mempercepatkan proses menguasai kawasan lain.
Ibu negara Kabul adalah kota besar terakhir di Afghanistan yang menentang Taliban, tetapi sekarang Taliban telah menuntut kemenangan mereka di sana.
Istana presiden berjaya dirampas dan Presiden Ashraf Ghani telah melarikan diri ke Uzbekistan. Bekas presiden Hamid Karzai pula menawarkan untuk memimpin peralihan kuasa dengan Taliban.
Situasi Di Afghanistan Selepas Peralihan Kuasa
Aktivis menyatakan kebimbangan terhadap golongan wanita di Afghanistan kerana terdapat laporan bahawa Taliban telah memaksa perubahan dalam cara berpakaian dan pilihan mereka untuk bekerja, di beberapa bahagian negara itu.
Tambahan lagi, akibat ketidakpastian dan rasa ketakutan yang tinggi terhadap pemerintahan Taliban, ribuan penduduk tempatan dan warga asing telah cuba melarikan diri dari Kabul.
Orang ramai berpusu-pusu ke lapangan terbang untuk segera meninggalkan kawasan taklukan itu. Namun, penerbangan komersial telah ditangguhkan dengan keutamaan dilaporkan telah diberikan kepada penerbangan tentera AS atas urusan diplomatik.

Dengan rasa terdesak, ada juga yang sanggup berpaut pada kapal terbang yang sedang berlepas ke udara dan akhirnya maut selepas jatuh dari ketinggian itu.
Lebih daripada 60 negara telah mengeluarkan kenyataan bersama yang meminta agar keamanan dan ketenteraman awam segera dipulihkan, dan meminta Taliban mengizinkan mereka yang ingin pergi untuk berbuat demikian.
Situasi di Afghanistan masih kekal tegang dengan pergelutan isu dalamannya. Oleh itu, diharapkan orang ramai di pelusuk dunia dapat mengambil kesedaran terhadap situasi genting ini dan terus memberi tumpuan sehingga ke peleraiannya nanti.
Artikel-artikel berkaitan lain untuk dibaca: