Tahukah Anda Bahawa Marrybrown Merupakan Produk Malaysia?

Siapa sangka francais fast food, Marrybrown ini merupakan produk Malaysia? Berasal dari Johor, Marrybrown telahpun melebarkan sayapnya di serata dunia. 

Masih lagi saya ingat semasa kecil setiap kali pulang ke kampung untuk menyambut hari raya di Johor, famili saya akan singgah dulu ke Marrybrown untuk berbuka.

Ada juga saya perasan terdapat banyak cawangan restoran ini di Johor, namun tidak sangka pula ianya berasal dari negeri itu.

Bermula di shoplot kecil Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, Marrybrown ini ditubuhkan oleh sepasang suami isteri berbangsa Cina pada tahun 1981.

Restoran Pertama Marrybrown
Restoran Pertama Marrybrown | Sumber: Marrybrown

Melihat peluang perniagaan yang ada pada zaman itu, Dato Lawrence Liew and Datin Nancy Liew mengunakannya untuk mencipta idea mereka sendiri berdasarkan citarasa makanan Malaysia.

Macam mana boleh dapat nama Marrybrown? Menurut pengasasnya Nancy Liew, nama tersebut muncul dimindanya begitu sahaja. 

Nancy pada ketika itu telahpun meletakkan matlamat jangka masa panjang, beliau berkata Marrybrown senang untuk disebut dan mempunyai tarikan internasional.

Beliau menambah bahawa kebanyakan jenama makanan segera antarabangsa cenderung untuk mempunyai tiga suku kata seperti KFC, Burger King dan McDonald’s.

Menu Citarasa Malaysia
Menu Citarasa Malaysia | Sumber: mise en place

Masa itu, francais-francais internasional sudah menapak di Malaysia selama 10 tahun, jadi pasangan ini mahu menu mereka mempunyai sesuatu yang berbeza. 

Oleh itu, selain ayam goreng dan burger mereka turut menyediakan kegemaran tempatan seperti satay, nasi goreng, nasi lemak dan bubur. 

Joshua berkata, di Asia kebanyakan keluarga keluar makan sebagai aktiviti meluangkan masa bersama. Maka, mereka mencipta menu tiga generasi supaya pelbagai lapisan generasi boleh menikmatinya bersama-sama.

Selain burger dan ayam goreng yang mungkin generasi tua tidak terbiasa, mereka juga mempunyai menu yang ada nasi dan mi. Iyalah, kita kalau makan tiada nasi, macam tidak lengkap kan?

Kini, produk Malaysia ini mempunyai 500 cawangan di 16 buah negara seperti di Singapore, Sweden, Maldives, India dan Afrika.