Suka Menggigit Kuku, Ketahui Risiko Tabiat Ini

kesan

Tabiat menggigit kuku juga boleh didefinisikan sebagai Onychophagia iaitu merupakan perilaku memasukkan jari ke dalam mulut dan mengigit kuku dengan gigi.

Ramai di antara kita di luar sana mempunyai kelakuan ini tidak kira sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Pada kebiasaannya tabiat ini dilakukan bermula ketika sewaktu masih kecil dan kemudian berterusan sehingga sudah ke alam dewasa.

Ada sesetengah individu merasakan perbuatan itu mampu menghilangkan keresahan atau kerap melakukannya kerana kebosanan. Mereka cuba mengawal perasaan yang sedang dialami dengan menggigit kuku tanpa disedari bahawa ianya mula menjadi satu tabiat.

Pasti ramai menjangkakan perkara ini bukanlah sesuatu yang serius. Namun begitu, tabiat ini boleh mengundang masalah dari segi fizikal dan psikologi kepada individu tersebut untuk jangka masa yang lama.

Selain daripada boleh mencacatkan rupa dan bentuk kuku, risiko berhadapan dengan jangkitan kuman.

Komplikasi untuk mendapat penyakit disebabkan oleh penyebaran bakteria dan virus daripada jari kuku ke mulut anda amat tinggi sekiranya tabiat ini tidak dihentikan.

Terdapat satu kes sebelum ini seorang individu yang kerap menggigit kuku telah mengalami keracunan darah. Jangkitan kuman di dalam sel darah manusia mampu menjangkiti organ-organ penting dan seterusnya akan melemahkan sistem pertahanan badan.

Selain itu, rasa ketagih melakukan tabiat ini secara tidak langsung memberikan keinginan untuk mencederakan diri sendiri. Kajian menunjukkan bahawa kebarangkalian tabiat ini sedikit sebanyak berhubung kait dengan masalah gangguan mental adalah lebih tinggi.

Antaranya seperti penyakit obsesif kompulsif atau lebih dikenali sebagai Obsessive Compulsive Disorder (OCD).

Penyakit obsesif kompulsif dikategorikan sebagai tindakan kompulsif yang berlebihan di dalam sesuatu perbuatan seperti tabiat menggigit kuku.

Justeru, tabiat ini seharusnya ditangani melalui beberapa cara latihan kawal tabiat bagi mengelak daripada terus mengamalkan perilaku menggigit kuku.

Diharap perkongsian ini dapat memberikan pendedahan awal kepada semua tentang risiko sekiranya kita meneruskan tabiat yang selalu kita lakukan itu.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: