Wanita sering diketahui dengan sifat kelembutan dan kaya dengan kasih sayang. Namun, di sini kami kongsikan dua kisah srikandi islam yang memperlihatkan sisi lain dalam diri wanita.
Lahirnya ramai pejuang islam pada zaman Nabi Muhammad S.A.W yang mempertahankan kesucian agama sehingga sanggup mengorbankan diri mereka. Sering kita kenali pejuang-pejuang Islam lelaki seperti Khalid al-Walid, Salahuddin Ayyubi dan ramai lagi.
Perkongsian kali ini akan menceritakan kisah pahlawan wanita dalam Islam yang jarang diketahui umum.
1. Safiyyah Binti Abdul Muttalib
Wanita pertama yang mengangkat senjata di medan jihad. Safiyyah merupakan saudara seibu sebapa dengan Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib atau sering digelar sebagai “Singa Allah”. Dilahirkan pada tahun 569 Masihi. Ibu Safiyyah sebenarnya kakak kepada ibu Nabi Muhammad S.A.W, Aminah binti Wahab.
Hasil daripada perkahwinan kedua Safiyyah dengan Al-Awwam bin Khuwaylid, beliau mendapat tiga orang anak.
Salah satunya adalah seorang pahlawan pertama angkatan tentera berkuda kaum Muslimin iaitu Saidina Zubair bin al-Awwam. Keberanian Safiyyah di medan perang turut mengalir dalam darah anaknya.
Safiyyah juga di antara yang terawal memeluk agama Islam. Pada tahun 625 Masihi, tercetusnya Perang Uhud dan ketika itu Safiyyah sudah berumur 56 tahun.
Beliau tetap tidak melepaskan peluang untuk menyertai Rasulullah S.A.W walaupun usianya yang sudah agak lewat itu.
Selain daripada membalut luka tentera Muslimin dan membaiki panah-panah yang patah, beliau juga membantu anak saudaranya itu di kancah perperangan. Safiyyah sangat digeruni dalam kalangan pahlawan-pahlawan lain.
Beliau juga antara wanita Muslimin pertama membunuh kaum Musyrikin. Selain itu, Safiyyah turut menyertai Perang Khandaq (627 Masihi) dan Perang Khaibar (629 Masihi).
2. Nusaybah Binti Ka’ab
Dalam sejarah Islam, Nusaybah cukup dikenali sebagai salah seorang wanita yang memeluk Islam dengan kekuatan luar biasa. Nusaybah juga dikenali sebagai Ummu Umara. Berasal dari suku Bani Najjar yang tinggal di Madinah, beliau merupakan di antara 73 orang yang menyertai Bai’ah Kedua di al-Aqabah untuk bersumpah setia kepada Islam.
Pertempuran awal Nusaybah adalah ketika Perang Uhud. Sama seperti wanita lain, beliau bertugas membawakan air dan merawat pahlwan-pahlawan yang tercedera.
Satu kejadian telah berlaku menyebabkan Nusaybah bertindak turut serta dalam kelompok kecil yang berdiri teguh bersama-sama Rasulullah dengan pedang dan busur di tangannya.
Nusaybah menjadi perisai manusia bagi melindungi baginda daripada terkena tembakan panah orang Quraisyh.
Beliau sanggup mengorbankan dirinya menanggung pelbagai kecederaan demi mempertahankan Rasulullah setiap kali pihak lawan menyerang baginda. Nusaybah turut berjaya membunuh lelaki yang mencederakan anaknya, Abdullah ketika perang tersebut berlaku.
Perjuangannya tidak terbatas ketika itu sahaja, beliau muncul dalam beberapa pertempuran lain seperti Perang Khaybar, Perang Yamamah dan Perang Hunayn. Dalam pertempuran Yamamah beliau menerima sebelas luka serta kehilangan tanggannya.
Semangat kepahlawanan Nusaybah sangat tinggi sehingga dikenali sebagai seorang yang mendahulukan kepentingan orang lain berbanding dirinya sendiri.
Menarik bukan kisah disebalik kehebatan srikandi wanita Islam di medan perang.
Sememangnya wanita diciptakan dengan pelbagai kelebihan dan diberi kekuatan dalaman untuk turut sama menjadi pejuang seperti seorang lelaki. Semoga kisah ini dapat dijadikan inspirasi buat para pembaca.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: