Dari Arab Spring hingga rusuhan di Hong Kong, dekad ini diwarnai dengan pelbagai demonstrasi dan kemarahan rakyat, dari rusuhan berdarah di Mesir sehingga jatuhnya rejim Hosni Mubarak, hinggalah bantahan jutaan warga Hong Kong kerana cadangan undang-undang ekstradisi 2019 yang dicadangkan Beijing.
Krisis imigran melanda Eropah, serta kebangkitan ideologi nasionalis-populis di Amerika Syarikat sehingga kemenangan Donald Trump pada tahun 2016, memperlihatkan perubahan politik dunia daripada orde yang didirikan sejak runtuhnya tembok Berlin pada 1989.
Di Malaysia pula, buat pertama kalinya dalam sejarah, parti pemerintah yang memerintah negara ini sejak kemerdekaan, Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya pada tahun 2018. Ketidakadilan ekonomi, perubahan cuaca serta pergerakan radikal kedua-dua belah sayap politik kiri dan kanan menjadikan polarisasi antara rakyat semakin ketara.
Semua ini digerakkan oleh satu kuasa: media sosial.
Sejak Internet diperluaskan kepada rakyat melalui Presiden Ronald Reagan, kemudiannya dijamin kebebasannya oleh Presiden Bill Clinton pada era 90an, internet menjadi kuasa kepada suara rakyat yang selama ini dipendam suaranya kerana media dikuasai oleh golongan establishment.
Dari Facebook dan Twitter, orang ramai menyuarakan pendapatnya dan apabila suara itu menjadi besar, ia menjadi satu gerakan massa yang kuat sehingga ia boleh menjatuhkan rejim yang sekian lama memerintah.
Dalam huru-hara ini, muncul beberapa gerakan serta falsafah baru yang menjadikan dekad ini sangat berbeza dari dekad yang sebelumnya.
Sempadan, ekonomi dan identiti bangsa – menjadi akar perjuangan dalam politik pasca moden

Kebakaran gereja purba zaman Gothik – Notre Dame di Paris, Perancis pada tahun ini mencetuskan kehibaan seluruh warga Tamadun Barat. Sama seperti kebakaran Muzium Nasional Brazil di Rio de Janeiro pada tahun lalu, ia mencetuskan perasaan ‘kehilangan yang tidak boleh diganti’.
Kehilangan ini mencetuskan kehibaan, lalu kemarahan mula timbul apabila establishment liberal demokrasi tidak mempedulikannya, bahkan menjadikan ia sebagai satu jenaka.
Presiden Perancis, Emannuel Macron mahu Notre Dame dibina semula dengan melantik Norman Foster sebagai arkitek untuk pembinaan semula.
Jika anda arif dalam bidang architecture, Norman Foster adalah arkitek yang mereka semula Reichtag di Jerman, Bangunan 30 St Mary Axe di London dan pembinaan Apple Park di San Francisco.
Semua bangunan yang berbentuk macam rekabentuk makhluk asing yang makin bercambah di dunia ni, nama rekaan ini ialah neo–futurism. Antara arkitek yang popular dalam rekaan macam ni selain Norman Foster ialah Zaha Hadid, Eero Saarinen dan Santiago Calatrava.
Bangunan Reichtag, Norman Foster (1999) Zaha Hadid, Pusat Kebudayaan Changsa, China (2015) Bangunan Terminal JFK Airport, Eero Saarinen (2005) Milwaukee Art Center, Santiago Calatrava (2001)
Dunia hari ini sudah mula merasakan kehilangan identiti – dan rekabentuk bangunan ini adalah petandanya. Kalau melihat kepada trend semasa, orang pada hari ini sudah mulai jelak dengan rekabentuk bangunan yang lebih kurang sama seperti contoh yang diberikan di atas. Orang mula mahu mencari identiti bangsa sendiri dengan menolak rekabentuk seperti ini.
Dari sini bermulalah gerakan menentang globalisme di seluruh dunia, dan disinilah akar umbinya gerakan populis yang mulai popular di media sosial.
Media massa yang dikuasai oleh golongan establishment mula ditolak, dengan simptomnya dapat dilihat sejak kebangkitan suara rakyat Britain dalam Brexit, iaitu keinginan untuk United Kingdom keluar daripada Kesatuan Eropah.
Di Amerika pula, negeri-negeri fly over yang hanya dilewati dengan kapal terbang jika dari dua bandar paling utamanya, Los Angeles dan New York, negeri seperti Iowa, Ohio, Michigan dan Pennsylvania mula memberontak dengan Parti Demokrat. Negeri-negeri ini sering mengundi calon Presiden dari Demokrat sejak 1992 apabila Bill Clinton bertanding.
Namun sejak 2016, negeri ini menyokong Republikan kerana suara mereka tidak dipedulikan oleh media yang berpusat di New York, San Francisco atau Los Angeles.
Dengan kuasa media sosial seperti Twitter dan Facebook, Donald Trump mendapat sokongan akar umbi dari negeri-negeri ini yang mendambakan ekonomi negeri mereka dipulihkan semula.
Dasar mengutamakan negeri-negeri di pantai seperti California, Washington State atau New York akhirnya menghukum Demokrat, kerana mengabaikan pekerja kolar biru iaitu golongan pekerja kilang.
Begitu juga di United Kingdom apabila Parti Buruh pimpinan Jeremy Corbyn hanya mengutamakan London daripada bandar-bandar yang menjadi kubu kuat mereka seperti Sheffield, Leeds, Manchester dan Newcastle, kini kawasan tersebut hanya menjadi sipi-sipi sahaja.
Isu sempadan juga dimainkan dengan kuat dalam sentimen ini. Ditambah dengan kedudukan ekonomi yang semakin sempit, pekerja ini terpaksa bersaing dengan pekerja imigran yang sanggup menerima gaji yang lebih rendah.
Kadar inflasi serta peluang untuk meningkatkan taraf hidup semakin sukar, menyebabkan mereka memberontak.
Bagaimana pula dengan Malaysia? Sudah pasti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi isu paling hangat, sehingga tumbangnya kerajaan Barisan Nasional buat pertama kali dalam sejarah.

Kemarahan ini datang dari kos sara hidup yang semakin meningkat, ditambah pula dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2015. Kemarahan ini menjadi punca kebangkitan rakyat dalam Pilihanraya ke-14 dengan kemenangan Pakatan Harapan.
Pun begitu, selepas kemenangan Pakatan Harapan, krisis melanda dalam pakatan tersebut. Perebutan jawatan Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah menjadi buah mulut orang ramai.
Keyakinan para pelabur pun menjadi rendah dengan pelbagai gaffe (kesilapan politik) sama ada kenyataan menteri (seperti projek kereta terbang) atau melibatkan hal diplomatik dengan negara luar (seperti isu Kashmir dengan India, yang merupakan pembeli minyak kelapa sawit terbesar negara ini), serta boikot dari negara demokrasi terbesar itu, mengancam ekonomi Malaysia.
Seperti di negara lain juga, isu kaum menjadi isu yang panas di negara ini. Isu kematian anggota bomba, Muhammad Adib menimbulkan kemarahan orang Melayu. Selain itu, isu tulisan jawi yang dibangkitkan oleh Dong Zong juga membuatkan persepsi orang Melayu terhadap Pakatan Harapan bahawa kerajaan ini mengenepikan suara kaum majoriti terbesar Malaysia ini.

Apakah dekad 2020an akan memberikan kedamaian pada kita semua? Atau perlukah kita berperang sekali lagi dalam mencari makna yang baru dalam dunia ini? Mungkin kita semua tidak mahu berperang, sebagaimana rakyat ketika zaman Perang Dunia Pertama atau Kedua, mereka juga pada asalnya tidak mahu peperangan.
Ahli falsafah komunis, Leon Trotsky pernah berkata, “kamu mungkin tidak minat dengan perang, tapi perang berminat dengan kamu”.
Saya secara peribadinya tidak mahu dunia ini berperang, tetapi semua orang di dalam dunia ada agenda masing-masing. Merebut kedudukan dalam keadaan geopolitik dan geoekonomi hari ini serta kegelojohan sesetengah pihak merebut kuasa, mungkin menjadikan perang sesuatu yang tak dapat dielakkan.
Selamat tahun baru kepada semua pembaca Teh Tarik Gelas Besar, dari saya semoga anda semua menemui keamanan dalam diri.