Solekan Kesan Khas Atau SFX: Kanvas Unik Dan Hidup

Imej ini nampak mengerikan bukan? Inilah antara hasil solekan kesan khas atau SFX.

Berbeza dengan mekap biasa yang berperanan untuk mencantikkan seseorang individu, seni solekan ini dibuat untuk mencipta ilusi pada tubuh atau wajah misalnya untuk kelihatan melecur, luka parah, atau berusia.

Tidak hanya itu, solekan jenis ini juga dapat menukar seseorang jadi hantu, raksasa, alien dan pelbagai watak fantasi yang diingini.  

Kebiasaannya ia digunakan khas untuk lakonan teater, televisyen dan juga filem.  Namun pada masa kini, aplikasi solekan SFX semakin meluas dan turut dipraktikkan dalam pelbagai bidang seperti pelaku permainan kostum (cosplayer) dan vlogger.

Sejarah ringkas SFX dalam perfileman

Mengikut perkongsian laman sesawang Central Casting, industri mekap efek khas ini dikatakan bermula pada sekitar era 1900-an. Pelakon Lon Chaney antara orang terawal yang mempelopori bidang ini dengan ‘mengubah suai’ sendiri wajahnya untuk watak lakonannya dalam filem The Hunchback of Notre DamePhantom of the Opera dan lain-lain.

Seni mekap ini mula mendapat perhatian serius apabila filem tentang raksasa mencapai populariti pada awal tahun 1930-an. Dalam filem Frankenstein, jurusolek menggunakan bahan-bahan seperti kapas, cecair getah dan solekan serba hijau bagi menghidupkan watak raksasa itu di layar perak.

Seiring dengan perkembangan industri filem, trik mekap ini turut semakin canggih bagi mendapatkan kesan yang lebih realistik.

Jenis mekap kesan khas

Salah seorang artis mekap SFX yang berpengalaman dan berbakat di Malaysia adalah Neb Radzif.

 Dalam temu bual bersama Harian Metro, beliau berkata SFX ini terbahagi kepada dua mekanikal dan optikal.

Solekan mekanikal bermaksud solekan dihasilkan serta-merta menggunakan mekap dan prostetik (teknik membuat kulit palsu dengan acuan berdasarkan wajah pelakon sebelum penggambaran bermula). Sebagai contoh kesan penuaan wajah dan luka terbakar atau kemalangan.

Solekan optikal pula ialah solekan yang diiringi teknologi seperti teknik janaan imej komputer (CGI) dan manipulasi foto seperti tangan putus, perut terburai atau kepala pecah.

Menurut Neb, cabaran utama dalam menghasilkan solekan SFX adalah untuk menjadikan ia realistik sehingga dapat membuatkan pemerhati percaya ia benar-benar berlaku dan bukannya solekan.

Selain memuat naik karyanya di laman Instagram, beliau turut mengadakan tutorial di YouTube. Sekiranya anda berminat untuk bertukar rupa menjadi zombie, boleh ikuti saluran videonya.