“Smells Like Teen Spirit”, lagu popular dari kumpulan grunge 90an, Nirvana, hari ini mencecah 1 billion views di YouTube, pagi tadi.
Pengumuman tersebut diumumkan oleh laman sosial Twitter mereka pada hari Krismas semalam.
Smells Like Teen Spirit has just crossed 1 Billion views on @youtubemusic.https://t.co/g1A9lwpAGL
— Nirvana (@Nirvana) December 25, 2019
Kenyataan tersebut disambut gembira terutamanya bagi peminat-peminat muzik grunge yang rindukan kumpulan tersebut, terutamanya golongan yang bergelar Generasi X (1964-1980).
APA ITU GENERASI X?

Untuk artikel penuh tentang generasi, klik sini.
Generasi X adalah generasi yang menyaksikan kadar penurunan pertumbuhan penduduk dunia sekitar pertengahan 1960an apabila pil perancang keluarga sudah mula berada di pasaran. Ingat tak lawak P. Ramlee dalam Tiga Abdul tentang ‘family planning‘? Ya, zaman tu dah main morning after dah.
Mereka pada asalnya dipanggil “Babybust” kerana penurunan kadar kelahiran itu, tetapi digantikan dengan “Gen X” atas sebab hanya pakar sosiologi yang tahu.
Gen X adalah generasi pasca perindustrian di Barat, tetapi di Malaysia adalah zaman permulaan perindustrian. Kebanyakan dari Gen X ini adalah generasi pasca DEB di Malaysia. Pada masa ini pertumbuhan ekonomi di negara seperti Malaysia sedang pesat meningkat, tetapi di Barat sedang merudum.
Akibatnya Gen X di Barat lebih murung daripada Gen X di Timur seperti Malaysia. Pada zaman mereka, muzik memberontak seperti punk, grunge, hardcore, hiphop dan metal disamping penciptaan teknologi synthesizer yang mencipta muzik seperti Krautrock dan electronica.
Terdapat 3.3 juta orang Generasi X di negara ini. Mereka adalah generasi terkecil yang terhimpit antara dua generasi besar, iaitu Babyboomers dan Millennials.
Generasi X terkenal dengan sikap menolak kepercayaan kepada sistem, memandang sinikal kepada media massa serta tidak mempercayai kata pakar.
Perkara ini mungkin baik dalam politik (skeptik dengan semua media massa), namun mereka ini juga antara golongan yang paling ramai menjadi golongan anti-vaksin dan golongan flatearthers (mempercayai bumi itu leper), kerana menolak pendapat pakar.
Antara sebab mengapa mereka bersikap begini ialah:
Di Amerika Syarikat, mereka membesar dengan penipuan dan manipulasi media massa, seperti berita tentang Perang Vietnam, serta penipuan ahli politik seperti kes Watergate oleh Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon.

Di United Kingdom pula, mereka membesar dengan suasana politik huru-hara terutamanya protes golongan pelombong arang batu menentang kerajaan Parti Konservatif pimpinan Margaret Thatcher.
Di Malaysia pula, mereka membesar di era Memali, skandal MAMINCO, Bank Bumiputera serta pengharaman UMNO pada tahun 1988.
Mereka dalam golongan remaja ketika Perang Dingin berakhir, kerana itu mereka sentiasa skeptik dengan maklumat yang disampaikan oleh sumber utama.
Mereka antara pelopor pertama dalam dunia internet, terutamanya ketika internet masih baru pada era awal 90an lagi. Ketika ini mereka mendapat maklumat yang bertentangan dari sumber media massa.
Di Malaysia, mereka adalah golongan yang terawal yang protes dan turun ke jalan raya dalam demonstrasi Reformasi tahun 1998.
Generasi X dibentuk dalam maklumat penuh tipu daya dengan helah penguasa, serta banyak maklumat yang mengelirukan, menyebabkan mereka sentiasa skeptik dengan pihak berkuasa.
Mereka generasi yang melahirkan muzik punk, yang memanifestasikan pemberontakan sebagai nilai hidup mereka. Begitu juga dengan muzik hiphop seperti Dr Dre, Eazy E, Tupac dan Notorious BIG, muzik mereka seringkali menentang pihak berkuasa.
Di Malaysia, muzik Generasi X ialah muzik rock kapak, yang kebiasaannya berambut panjang dan seluar jeans sebagai tanda melawan sistem, terutamanya golongan pejabat yang berambut pendek, seluar slack dan baju batik.
Nirvana, dan banyak lagi kumpulan grunge lain, lahir dalam subculture Generasi X. Grunge tidak menitikberatkan soal kekemasan dalam pemakaian, dan seringkali memakai seluar jeans koyak, flannel lusuh dan kasut yang kotor.
Seringkali kumpulan ini dilabelkan sebagai “jurucakap Generasi X”, bagaimanapun pada 5 April, 1994, penyanyi kumpulan ini, Kurt Cobain ditemui mati akibat membunuh diri.