Sisi Gelap CEO Syarikat Teknologi Terkemuka Di Dunia

Ramai antara kita memandang tinggi dan mengagumi beberapa individu yang bergelar CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif yang terkenal di dunia.

Mereka dijadikan idola atas kejayaan luar biasa yang dikecapi.

Walau bagaimanapun, realitinya berbeza terutamanya bagi mereka yang pernah bekerja di bawah pengurusan CEO ini.

Tidak dinafikan mereka mungkin golongan yang hebat namun terdapat sisi lain CEO-CEO ini yang tidak ramai tahu.

Berikut kami kongsikan beberapa kisah para CEO yang dianggap menakutkan oleh pekerja mereka sendiri:

  1. Jeff Bezos – Amazon
Sumber: Iluminasi

Jeff Bezos mempunyai standard yang tinggi dan mengharapkan setiap pekerja di syarikat Amazon dapat memenuhinya.

Sekiranya Bezos ada menghantar e-mel kepada pekerjanya, para pekerjanya perlu mencari jalan penyelesaiannya atau bakal menghadapi masalah besar.

Pernah digelar manusia terkaya di dunia, Bezos juga dikatakan mudah berang dalam pelbagai perkara.

Selain menjerit dan menggunakan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan, beliau juga sering memerli pekerjanya dengan soalan-soalan perit seperti:

“Adakah anda malas atau tidak berguna?”

“Maaf, adakah anda terlupa makan pil bodoh hari ini?”

“Kenapa anda suka membazirkan hidup saya?”

2. Elon Musk – Tesla & SpaceX

Sumber: Iluminasi

Lelaki terkaya dunia ini juga tidak terkecuali dalam senarai ini. Musk dikatakan sebagai seorang yang kerap menimbulkan masalah terhadap pekerjanya.

Beliau sering menukar skop pekerjaan bagi pekerja-pekerja Tesla atau memberhentikan jawatan mereka tanpa sebarang notis.

Malah, pekerja SpaceX sudah biasa dengan sikap dingin dan kurang emosi majikannya itu. Musk dikatakan pernah menjerit kepada beberapa pegawai SpaceX di hadapan ahli keluarga mereka disebabkan kelewatan dalam projek pembinaan roket.

Steve Davis yang merupakan salah seorang pekerja terbaik di SpaceX berkongsi bagaimana beliau sendiri berhadapan dengan emosi Musk yang dingin itu.

Apabila Davis menulis e-mel dengan penuh semangat kepada Musk menceritakan kejayaannya di SpaceX, majikannya itu hanya membalas dengan dua huruf sahaja, “OK.”

3. Steve Jobs – Apple

Sumber: Iluminasi

Mendiang Steve Jobs terkenal dengan sering membuli, menghina dan menakut-nakutkan pekerjanya.

Beliau digambarkan sebagai seorang yang kasar dan panas baran. Jobs juga tidak teragak-agak memarahi pekerjanya di hadapan orang ramai.

Tambahan pula, beberapa eksekutif tertinggi seperti Rob Johnson (pencipta Apple Store) dan Alison Johnson (bekas naib presiden) turut meninggalkan Apple kerana tidak dapat tahan bekerja dengan Jobs.

Steve Jobs mempunyai aturannya sendiri dan mengharapkan semua orang mengikutinya tanpa sebarang soalan.

Sesiapa yang melanggar atau mempunyai pendapat berbeza akan dipecat serta-merta.

Jobs turut bertindak tanpa menjelaskan sebab munasabah dan sering mempersoalkan tahap kecerdasan para pekerjanya.

4. Evan Spiegel – Snapchat

Sumber: Iluminasi

Evan Spiegel merupakan CEO kepada Snap Inc. yang membangunkan aplikasi Snapchat. Para pekerjanya mendakwa pengurusan Spiegel terhadap syarikat itu adalah seperti seorang diktator.

Ia menyebabkan budaya kerja di Snap Inc. dipenuhi ‘racun’ dan sikap ‘tikam belakang’.

Bekerja di Snap Inc juga dikatakan tidak ubah seperti berenang dalam kolam yang dipenuhi ikan jerung. Spiegel bersifat terlalu berahsia dan tidak pernah mendengar nasihat atau pendangan orang lain.

Beliau juga sering memaksa pekerjanya membuat sesuatu di luar bidang sebelum dipecatkan kerana tidak mahir.

Selain itu, ketua pegawai eksekutif Snap Inc. itu turut menjalankan sistem pilih kasih yang mendorong para pekerjanya terlibat dalam politik pejabat bagi mendapatkan kepercayaannya.

Ramai eksekutif atasan meletakkan jawatan dari syarikat itu kerana tidak dapat bekerjasama dengan Spiegel.

Antara CEO-CEO di atas, yang manakah anda rasa paling menggerunkan?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: