Sering mendengar istilah Monday Blues tetapi masih ramai lagi yang tidak mengetahui asal usul istilah ini.
Sindrom Monday Blues merujuk kepada satu emosi negatif yang lazim dirasai pada permulaan minggu tersebut iaitu hari Isnin. Ia merangkumi tekanan mental, kebimbangan, keletihan berpanjangan dan rasa putus asa sepanjang di tempat kerja.
Beberapa hasil kajian berkaitan sindrom ini telah dilakukan. Antaranya kajian membuktikan bahawa separuh bilangan pekerja akan lewat tiba ke pejabat pada hari Isnin. Selain itu, tempoh produktif seseorang pada hari Isnin ialah 3.5 jam sahaja.
Pakar Psikologi Pendidikan dan Personaliti Universiti Sains Malaysia USM, Prof Madya Dr Shahabuddin Hashim turut membincangkan isu ini.
Menurutnya sindrom itu biasanya bergantung kepada sejauh mana seseorang itu memahami maksud Monday Blues dan memberi respon terhadapnya. Jika seseorang itu melihat perkara ini dari sudut positif maka fenomena emosi tersebut akan ditangani dengan bijak.
Ini kerana dapatan kajian menunjukkan status emosi Monday Blues memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap kualiti kerja dan pembelajaran seseorang.
Tahap produktiviti seseorang akan berkurangan termasuklah kurang rasa motivasi, kurang mengambil bahagian dalam perbincangan dan proses pembelajaran akan lambat berbanding dengan hari lain.
Susulan itu, Dr Shahabuddin berkongsi beberapa cara untuk menangani dan mengubah persepsi ini. Yang pertama seseorang itu perlulah membangunkan potensi diri dalam memberi semula tenaga agar bermanfaat kepada diri sendiri dan organisasi.
Seterusnya, perancangan jangka masa panjang amat berfungsi dalam berdepan dengan masalah Monday Blues. Kegagalan merancang aktiviti adalah salah satu contoh risiko psikologi yang sepatutnya dielakkan.
Pandangan terhadap sindrom ini boleh dilihat sebagai satu tenaga dalaman yang positif untuk mencipta permikiran bahawa minggu berkenaan lebih baik dari minggu sebelumnya.
Apa yang pasti ialah Monday Blues sememangnya benar berlaku tetapi masih ada sesetengah orang yang mempergunakan perkara ini sebagai alasan sahaja.
Jadi, jangan salahkan hari Isnin jika anda berasa murung dan tidak bersemangat. Namun cuba perbaiki pengurusan diri anda untuk menjadikan hari tersebut lebih baik.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: