Sikit Demi Sikit, Lama Lama Jadi 2 Juta! Tahniah IAmLejen.com!

Dalam zaman media sosial serta media alternatif yang semakin bercambah ini, IAmLejen.com terpaksa bersaing dengan banyak portal sama ada yang sudah lama bertapak atau yang baru muncul.

Persaingan menjadikan kualiti semakin baik, dan kemunculan IAmLejen.com sejak 31 Julai tahun lalu menempuh dengan pelbagai kesukaran.

Namun atas iltizam dan semangat ingin menjadi yang terbaik, portal ini telah berjaya mencapai capaian 2 juta pembaca dalam tempoh masa hampir 2 tahun sahaja.

Pencapaian ini sebenarnya tidak mudah, memandangkan ada ramai pesaing terutamanya media yang sudah lama bertapak, dan mempunyai modal yang lebih besar.

Ronald Reagan, Presiden AS 1981-1989, yang bertanggungjawab meluluskan projek internet digunakan untuk rakyat pada tahun 1983.

Sejak Revolusi Internet bermula pada awal tahun 1983, apabila Presiden Ronald Reagan membenarkan Internet digunakan oleh orang awam, tetapi semenjak 1991 apabila World Wide Web dilancarkan, revolusi ini telah mengubah bukan sahaja cara kita mendapatkan maklumat, bahkan cara kita membeli-belah, cara kita menonton filem, mendengar lagu, bahkan ia mengubah lanskap politik dunia.

Brexit dan kemenangan Donald Trump dilihat sebagai pemangkin kepada kepentingan media alternatif mengatasi media perdana. Walaupun pada sebelum itu lagi, media alternatif sudah mulai tergugat, ramai penganalisis politik berpendapat bahawa 2016 adalah tahun dimana bermulanya era baru dalam dunia kewartawanan.

Dalam perlumbaan mencari pasaran yang selama ini didominasi oleh media perdana, media alternatif mempunyai banyak cabaran serta adakalanya disekat oleh kuasa teratas yang cuba menyekat kemaraan media alternatif ini.

Sekatan serta larangan mula dirasai sekitar tahun 2018, dengan beberapa istilah dari kalangan pengamal media alternatif seperti “shadowban“, “zucc” (dihalang dari menggunakan Facebook) serta “demonitized” (tidak dapat menjanakan wang melalui pengiklanan) mulai disebut-sebut.

Peristiwa Vox Adpocalypse yang dikatakan bermulanya beberapa halangan dari pemain media besar terhadap media alternatif.

Walaupun begitu, IAmLejen yang kini berusia 4 bulan mulai bergerak dengan langkah yang berani dalam menempuh halangan ini.

Dalam era media baru ini, IAmLejen bijak mencari peluang serta memberikan headline yang menarik dalam usaha mendapatkan viewers yang tinggi.

Kerana kebijaksanaan tersebut, IAmLejen dapat mencapai 2 juta pembaca dan ini bukannya satu pencapaian yang mudah.

Semoga IAmLejen akan terus berjaya pada masa hadapan, dari team TTGB.

Teh Tarik Gelas Besar ialah cabang kepada Lejen Press Digital.

Petikan dari #DioramaAhad: Mimpi Jadi Realiti, Ini Kisah Di Sebalik Pencapaian 2 Juta Pembaca Di iamlejen.com

Dilancarkan pada 31 Julai 2018, portal I Am Lejen kini telah berjaya meraih lebih lima juta paparan halaman dan dua juta pembaca. Meskipun ia hanya sekadar angka, jerih perih untuk sampai ke tahap ini hanya kami yang mengerti.

It does not matter how slowly you go as long as you do not stop,” demikianlah ungkapan seorang ahli falsafah Cina yang boleh menggambarkan perjalanan kami dalam industri digital ini. Pada awal kewujudan portal I Am Lejen, jangankan 10 peratus daripada jumlah paparan halaman bulanan sekarang, satu peratus pun tidak sampai. Tetapi itu sama sekali tidak mematahkan semangat kami untuk terus dan terus menulis.

Kadang-kadang, kita perlu toleh ke belakang untuk lihat kembali segala kesusahan yang terpaksa ditempuhi sebelum ini kerana semua itulah yang membawa kepada pencapaian sekarang. Semasa portal I Am Lejen masih hijau dalam industri ini, melihat ada artikel yang berjaya mencatat 100 paparan halaman pun sudah membuatkan kami senyum sampai ke telinga. Kepuasan dan kegembiraan yang terbit dari hati hanya Tuhan sahaja yang mengerti.

Jika dahulu sebut sahaja portal I Am Lejen, kebanyakannya akan terpinga-pinga seraya menyoal, “Apa itu?” Berdasarkan pengalaman saya sendiri sebagai salah seorang penulis terawal di portal ini, terdapat segelintir yang beranggapan kerjaya ini langsung tidak mencabar. Apa yang mereka lihat, kerja saya hanya sekadar menulis semata-mata. Realitinya, ia tidak semudah seperti yang disangkakan.

Menjadi portal yang terawal menyampaikan sesuatu berita kepada pembaca adalah antara salah satu cabaran dalam industri ini. Memastikan tagline ‘Tular & Terkini’ bukan sekadar omongan kosong merupakan sebahagian daripada tugas saya. Ada kalanya saya terpaksa korbankan masa cuti bagi memastikan portal terus diisi dengan tulisan tular dan terkini untuk para pembaca.

Salah satu artikel yang saya tulis pernah dilabel sebagai artikel sampah oleh pembaca. Meskipun komen itu agak pahit untuk ditelan, saya memilih untuk melihat ia dari sudut positif. Sudah menjadi lumrah kehidupan, kita tidak akan boleh puaskan hati semua orang.

Tanggal 31 Ogos 2019 merupakan tarikh bersejarah buat team Lejen Press Digital di mana portal I Am Lejen berjaya meraih lebih satu juta paparan halaman buat pertama kalinya dalam tempoh sebulan. Berkat usaha dan juga teamwork daripada Lejen Backbones, angka yang kami impikan selama ini benar-benar menjadi realiti. Bak kata K-Clique, betul-betul macam mimpi.

Meskipun pada saat itu mimpi kami sudah pun menjadi realiti, kami tidak berhenti setakat itu sahaja. Pencapaian itu kami jadikan sebagai titik tolak untuk terus mengorak langkah ke angka yang lebih tinggi. Tidak dinafikan, mahukan sesuatu memang mudah tetapi untuk dapatkannya tidak semudah itu.

Jadi, bagi memastikan impian untuk melihat jumlah paparan halaman dan pembaca portal I Am Lejen terus bertambah dari masa ke masa bukan sekadar angan-angan, kami jadikan konsistensi dan usaha keras sebagai acuan.

Pernah suatu masa kami diuji di mana pautan www.iamlejen.com disekat di media sosial yang menjadi platform untuk kami kongsikan artikel-artikel yang diterbitkan. Semua ini memberikan kesan kepada perjalanan kami tetapi sepertimana tunjang utama Lejen Press Digital iaitu Aisa Benasri sering katakan, “There must be a way. Tak ada masalah di dunia ini yang tak boleh selesai. Kita tak boleh selesa di satu tempat semata-mata. Kalau cara ini tak berkesan, cari cara lain.”

Dengan menjadikan pesanan itu sebagai bekalan, segala onak dan duri kami berjaya tempuhi akhirnya membawa portal I Am Lejen ke tahap sekarang.

Saya mewakili seluruh team Lejen Press Digital ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada dua juta pembaca yang sudi meluangkan masa membaca portal I Am Lejen. Tanpa anda semua, siapalah kami. Bunyinya memang agak klise tetapi itulah kenyataan. Tanpa dua juta orang pembaca ini, tiadalah angka lima juta paparan halaman yang menjadi nadi kekuatan kami semua. Akhir kata, I love you two million!