Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr. akan menghidupkan semula Pejabat Hal Ehwal Borneo Utara di Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) negara itu.
Locsin berkata terdapat sebuah biro lama dalam DFA yang secara eksklusif menumpukan perhatian pada masalah tersebut. Biro yang merujuk pada Pejabat Hal Ehwal Borneo Utara adalah sebuah pejabat yang dikhaskan sebagai usaha merebut semula Sabah.
“Pejabat ini akan dihidupkan bagi meneliti kenapa usaha merebut Sabah semula masih belum selesai termasuk sama ada mahu menghidupkannya atau beri nafas baharu,” ujarnya.
Filipina mempunyai tuntutan lama terhadap Sabah berdasarkan sejarah pemilikan Sultan Sulu yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara.
Dalam pada itu, Locsin turut mendakwa terdapat usaha menawarkan rasuah kepada para pegawai untuk menggugurkan tuntutan mereka ke atas Sabah sejak akhir tahun 1970-an lagi daripada calon-calon Presiden Filipina. Hal ini demikian kerana calon terbabit kekurangan dana dalam kempen mereka.
“Rakyat Filipina mesti tahu bahawa nilai rasuah yang ditawarkan itu adalah amat besar untuk mengkhianati Filipina. Terdapat keinginan tambahan untuk mengalu-alukan penyertaan Sabah ke negara asalnya,” kata Locsin.

Tuntutan Filipina terhadap Sabah menjadi ‘semakin panas’ selepas Jawatankuasa Hal Ehwal Luar negara itu membuat keputusan membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah dalam pasport mereka.
Filipina mempunyai tuntutan lama terhadap Sabah berdasarkan sejarah pemilikan Sultan Sulu yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara.
Sebagai respons, Malaysia sudah menegaskan tidak akan mengiktiraf dan memenuhi tuntutan mana-mana pihak terhadap Sabah. Hal ini demikian kerana Sabah telah menjadi sebahagian daripada Malaysia secara rasmi ketika pembentukan negara berkenaan pada tahun 1963.
Pada pendapat anda, adakah tindakan Filipina membuat tuntutan ke atas Sabah merupakan satu perkara yang wajar?