Setiausaha Agung PKR Sifatkan Tindakan Kerajaan Benarkan Rakyat Keluar Simpanan KWSP Sebagai Tidak Bertanggungjawab

Baru-baru ini, pihak kerajaan telah mengumumkan bahawa rakyat dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari akaun dua memandangkan ramai yang terkesan daripada segi kewangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membendung wabak COVID-19.

Dalam pada ramai yang memuji tindakan itu, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebaliknya berasakan ia adalah satu langkah yang tidak bertanggungjawab. Malah, beliau mahu perkara tersebut dikaji semula kerana bimbang ia akan menjejaskan nilai simpanan tabungan hari tua rakyat negara ini.

Menurut beliau yang juga merupakan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, adalah lebih baik bagi kerajaan untuk membatalkan kutipan cukai pendapatan menerusi Potongan Cukai Berjadual (PCB) untuk tempoh selama 12 bulan.

Sumber: The Malaysian Insight

“Saya membaca dengan penuh kebimbangan pengumuman kerajaan bahawa semua pencarum KWSP berumur 55 tahun ke bawah kini dibenarkan mengeluarkan sebanyak RM500 sebulan daripada caruman terkumpul mereka di KWSP untuk tempoh 12 bulan akan datang,” kata beliau.

“Adalah tidak bertanggungjawab untuk menyuruh rakyat Malaysia mengeluarkan simpanan KWSP untuk membiayai keperluan mereka kerana ia merupakan satu idea yang akan menjejas masa depan ramai rakyat Malaysia,” katanya lagi menerusi satu kenyataan.

Pada masa yang sama, Saifuddin mengatakan bahawa pihak kerajaan seharusnya menunjukkan kesediaan berkorban demi rakyat terutamanya dalam keadaan krisis COVID-19 dan kemelesetan ekonomi yang dihadapi negara hari ini.

“Adalah lebih wajar semua pekerja yang bergaji kurang dari RM10,000 sebulan dikecualikan daripada potongan cukai bulanan untuk tempoh 12 bulan akan datang. Ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka.

“Tindakan ini akan merangsang kegiatan ekonomi melalui perbelanjaan pengguna. Kesan alir-ke bawah daripada pendekatan ini adalah lebih cepat dalam merancakkan aktiviti perniagaan khusus di sektor peruncitan,” kata beliau.

Tegas Saifuddin, sekitar 70 peratus daripada pencarum KWSP mempunyai simpanan yang hanya dapat bertahan untuk tempoh lima tahun sahaja selepas mereka bersara.

“Hasrat di sebalik penubuhan KWSP untuk mewujudkan satu skim tabungan hari tua dan ia bukanlah akaun simpanan seperti di bank yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

“Kini jangka hayat rakyat Malaysia telah mencapai 76 tahun namun jumlah simpanan KWSP sebahagian besar mereka tidak mencukupi untuk menyara kehidupan sehingga ke 76 tahun,” ujar beliau.