Baru-baru ini tular sebuah video mengenai kejadian buli di sekolah berasrama. Perkara itu mencetuskan buah mulut orang ramai di media sosial mengenai kes buli yang banyak berlaku di sekeliling kita.
Apabila berbincang berkaitan buli, ianya tidak terbatas kepada tindakan fizikal sahaja. Ini kerana setiap pembuli mempunyai gaya dan taktik yang berbeza untuk menakutkan mangsa mereka.
1. Buli secara fizikal
Perlakuan dalam bentuk ini amat jelas kerana melibatkan aksi agresif cenderung menjadikan individu yang lemah atau bersaiz kecil sebagai mangsa.
Buli jenis ini biasanya dilakukan dengan cara melibatkan serangan fizikal seperti menendang, memukul, menumbuk, menampar dan menghancurkan sesuatu.
2. Buli lisan
Pelaku buli melalui percakapan ini kebanyakannya bertindak dengan mengusik atau menghina, mengejek dan menyebarkan khabar angin atau fitnah.
Ancaman ini akan membuatkan mangsa buli berasa rendah diri dan mengaibkan dirinya.
3. Buli sosial
Jenis buli ini agak licik dan sering tidak disedari ramai. Ianya lebih ke arah pencerobohan hubungan atau manipulasi sosial menyebabkan mangsa disisihkan dari komuniti.
Kadangkala si pembuli melakukannya demi meningkatkan kedudukan dirinya sendiri dengan mengawal atau membuli orang lain.
4. Buli siber
Gejala ini semakin berleluasa pada zaman sekarang. Bermula di media sosial, tujuan mereka melakukannya untuk menakutkan, mendatangkan kemarahan dan memalukan seseorang.
Antaranya seperti menyiarkan imej peribadi atau membuat ancaman dalam talian menerusi hantaran media sosial atau teks.
5. Buli seksual
Golongan wanita sering dijadikan sasaran dalam pembulian seksual ini. Namun ianya tidak pelik jika golongan lelaki yang menjadi mangsa.
Perkara ini melibatkan tingkah laku seperti menggunakan nama panggilan yang berbentuk seksual, komen misoginistik, gerak isyarat lucah atau sentuhan tidak diingini.
Anda mungkin menyangka bahawa buli hanya terdapat dalam satu bentuk sahaja tetapi sebenarnya ada pelbagai jenis yang tidak kita sedari. Oleh itu, semua pihak seharusnya peka dengan isu ini supaya mempunyai kesedaran tentang masalah buli dalam masyarakat kita pada hari ini.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: