Semoga Tuhan Berkati Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin

Selepas seminggu pertarungan antara pelbagai pihak sejak Langkah Sheraton pada 23 Februari, pelbagai drama, gelagat dan perbincangan tentang politik negara, akhirnya tamatlah sudah drama politik ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia, sekaligus menamatkan segala desas-desus tentang situasi politik di negara ini.

Gabungan UMNO, PAS, Bersatu yang berpihak kepada Muhyiddin Yassin, berserta parti-parti yang bergabung dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), serta ahli parlimen PKR yang pro kepada Azmin Ali.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dilahirkan pada 15 Mei 1947 di Muar, Johor. Dilahirkan dalam keluarga ulama, ayahnya Haji Muhammad Yassin merupakan ulama yang terkemuka.

Muhyiddin menerima pendidikan di Sekolah Tinggi Muar, sebelum meneruskan pendidikan tinggi di Universiti Malaya dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Melayu, dan menerima ijazah pada 1971.

Pada tahun 1974, beliau dilantik sebagai Pembantu Pegawai Daerah Muar sebelum ke sektor korporat sebagai Pengarah Urusan Sergam Berhad dan Sri Saujana Berhad.

Beliau menjadi setiausaha agung UMNO Pagoh pada 1976, dan menjadi Ahli Parlimen Pagoh selepas memenangi pilihan raya umum 1978.

Pada tahun 1986, beliau bertanding dalam DUN Bukit Serampang sekaligus menjadi Menteri Besar Johor dari tahun tersebut sehingga tahun 1995.

Beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan pada tahun 1995 hingga 1999, dan salah satu tugas besarnya ialah penganjuran Sukan Komanwel 1998 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Beliau kemudian menjawat jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1999-2004), Menteri Pertanian dan Asas Tani (2004-2008) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari 2008 hingga 2009.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2009 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak serta menjawat jawatan Menteri Pendidikan.

Beliau juga telah membatalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains Dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikan dengan dasar pembelajaran dwibahasa untuk memudahkan golongan pelajar yang lemah dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun beliau disingkirkan dalam Kabinet selepas rombakan kabinet dilakukan oleh Najib pada 2015, menyebabkan beliau akhirnya keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada tahun 2016.

Selepas memenangi pilihanraya pada PRU14 pada tahun 2018, beliau menghidap barah pankreas, dan menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri ketika beliau terlantar di hospital.

Selepas krisis Langkah Sheraton berpanjangan selama hampir satu minggu, Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah berkenan memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Semoga Tuhan memberkati negara di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia.