Seringkali kita menjadikan cincin sebagai tanda ikatan sesuatu hubungan. Di Malaysia juga, cincin merupakan simbol penting dalam acara merisik, pertunangan dan perkahwinan.
Cincin perkahwinan biasanya diperbuat daripada emas, perak, permata, platinum dan lain-lain.
Harganya turut boleh dikatakan agak mahal sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Barang kemas ini sememangnya popular sebagai simbol cinta di seluruh dunia.
Sebenarnya, cincin telah digunakan berabad lamanya sebagai barang hiasan.
Sekitar 5,000 tahun yang lalu, masyarakat tamadun Mesir Kuno sudahpun memakai cincin sebagai lambang kekayaan, cinta dan penghormatan kepada Tuhan mereka.

Antara rekabentuk cincin pada waktu itu adalah bebentuk kumbang yang membawa maksud kelahiran semula dan kesuburan.
Masyarakat masa itu tidak menggunakan cincin sebagai lambang perkahwinan dan hanya golongan kaya sahaja yang mampu memilikinya.
Sejarah penggunaan cincin sebagai lambang ikatan perkahwinan sebenarnya bermula sejak dari zaman Rom Purba.
Institut Gemologi Amerika mempunyai bukti bahawa wanita pada zaman tersebut telah memakai cincin yang terdiri daripada besi, tembaga, gading dan batu.
Cincin perkahwinan tertua ditemui oleh ahli arkeologi di bandar Pompeii, Itali yang musnah akibat letusan gunung berapi pada tahun 79 Masihi.

Cincin perkahwinan tersebut diperbuat daripada emas. Pada mulanya, cincin digunakan sebagai tanda sesuatu perniagaan, perjanjian atau pemilikan.
Memandangkan perkahwinan boleh dianggap sebagai suatu perjanjian antara dua pihak, ia secara tidak langsung menjadikan cincin sebagai bukti kesetiaan dan cinta kepada pasangan hidup.
Cincin kemudiannya mula digunakan sebagai simbol pertunangan sekitar tahun 850 Masihi.
Pope Nicholas 1 secara rasminya menyatakan bahawa cincin pertunangan yang diberi membawa maksud menyatakan hasrat untuk berkahwin.
Cincin tidak lagi digunakan sebagai tanda perniagaan atau perjanjian tetapi menjadi simbol cinta dan komitmen. Emas masih merupakan bahan paling popular digunakan bagi menghasilkan cincin pertunangan ketika itu.
Berlian digunakan buat pertama kalinya dalam pertunangan dan perkahwinan sekitar tahun 1477. Ketika itu, Archduke Maximilian of Austria telah mengambil keputusan untuk melamar Mary of Burgundy.

Maximilian yang bakal dilantik menjadi Maharaja Rom Suci mahukan cincin yang lain dari yang lain.
Cincin berliannya dihasilkan daripada permata panjang yang dijadikan dalam bentuk ‘M’.
Sebenarnya cincin berlian mula menjadi terkenal apabila sebuah syarikat Britain De Beers melancarkan kempen mempromosikan berlian pada 1947.

Satu slogan dalam iklan tersebut menjadi popular sehingga hari ini iaitu ‘Diamond is forever’.
Lebih mengejutkan lagi, De Beers berjaya mempromosikan berlian ketika dunia dilanda Perang Dunia Kedua dan kemelesetan ekonomi yang besar.
Bagaimana syarikat tersebut mengubah cincin berlian yang nilainya lebih rendah berbanding emas dan perak yang mahal?
De Beers telah mengupah sebuah syarikat periklanan Amerika Syarikat, N.W. Ayer bagi mempromosikan berlian.
N.W. Ayer menggunakan pelakon-pelakon ternama Hollywood, menulis pelbagai artikel, strategi pemasaran dan banyak lagi.
Sejak kempen tersebut berjaya membuatkan orang ramai tergila-gilakan berlian, tradisi cincin pertunangan dan perkahwinan menjadi semakin berkembang.

Kini, pengantin masih lagi minat berlian malah diperluaskan lagi dengan pilihan pelbagai batu permata berwarna dan logam yang unik.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan sejarah, anda boleh klik pada pautan di bawah: