Lagu Happy Birthday to You seringkali dinyanyikan secara beramai-ramai atau dalam suasana gembira ketika menyambut majlis ulangtahun kelahiran seseorang. Malah, lagu ini telah divariasikan dalam bahasa yang berbeza di seluruh dunia.
Tidak dapat disangkalkan lagi bahawa lagu ini menjadi terkenal dalam bahasa Inggeris yang mampu dihafal oleh semua golongan termasuk kanak-kanak. Namun, tahukah anda bagaimana lagu ini dicipta?
Pada dasarnya, lagu Happy Birthday to You ini telah dicipta oleh Mildred J Hill iaitu seorang guru Tadika Kanak-Kanak (TK) di Louisville, Kentucky. Pada mulanya, lagu ini bertajuk Good Morning to All yang dihasilkan pada tahun 1893.

Ia merupakan sebuah lagu yang selalu dinyanyikan oleh Mildred pada setiap pagi ketika menyambut kedatangan murid-muridnya ke tadika.
Pengubahan lagu dari Good Morning to All kepada lagu Happy Birthday to You bermula apabila salah seorang anak muridnya yang ingin menyambut hari ulangtahun kelahiran. Patty Smith Hill yang merupakan adik kepada Mildred telah mengusulkan satu idea untuk menukarkan lirik lagu tersebut ke Happy Birthday to You dengan menggunakan melodi yang sama.
Oleh itu, kedua-dua lagu tersebut mempunyai melodi yang sama dan liriknya sahaja yang berbeza. Berikut merupakan nota muzik lagu Good Morning to All yang telah digubah ke lagu Happy Birthday to You yang anda selalu dengar tiap kali sambutan ulangtahun pada hari ini.


Pada tahun 1924, lagu Happy Birthday to You telah disiarkan dalam radio dan juga menerusi filem. Lagu ini juga telah didendangkan dalam pertunjukkan Broadway pada tahun 1931.
Seterusnya, ia juga turut digunakan dalam sebuah majlis di Western Union pada tahun 1933. Tidak terhenti di situ, lagu ini menjadi semakin popular apabila Marilyn Monroe menyanyikan lagu tersebut sempena ulangtahun kelahiran Presiden Kennedy yang ke-45 pada tahun 1962.
Bahkan seorang komposer yang bernama Irving Berlun dan seorang penulis drama iaitu Moss Hart turut rasa tertarik untuk menggunakan lagu tersebut dalam sebuah muzikal Broadway, The Band Wagon.
Hakikatnya, lagu ini telah meraih sambutan hangat daripada semua pihak walaupun lagu tersebut hanya terdiri daripada empat rangkap dan pengulangan lirik yang sama. Ia telah menjadi satu tradisi serta budaya yang paling signifikan terhadap dunia muzik.
Penulis
- Nurul Naafizah Binti Ibrahim adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Prof. Madya Dr. Mohd Syuhaidi Bin Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan, anda boleh klik pada pautan di bawah: