Ramai tidak tahu kewujudan tempat ini sehinggalah ia disenaraikan antara tempat paling menyeramkan atau berhantu di Malaysia.
Ia adalah sebuah taman tema di Malaysia yang menjadi pilihan ramai selepas memulakan operasi pada 1971, sebelum wujudnya taman tema moden seperti Sunway Lagoon, Lost World of Tambun atau Wetworld Water Park Shah Alam.
Malangnya taman tema ini telah ditutup selepas 19 tahun beroperasi disebabkan oleh kejadian tanah runtuh yang membahayakan pengunjung.

Mula dibina menjelang tahun 1971, nama taman tema ini adalah singkatan kepada Malaysia In Miniature Land. Ia dibina di atas tanah berkeluasan 300 ekar yang berbukit di Ulu Gombak, kurang 30 kilometer dari Kuala Lumpur.
Mimaland dibina secara berfasa, oleh itu ia juga dibuka secara berperingkat. Sebanyak 24 buah motel dan lima buah chalet dilengkapi dengan kolam renang siap dalam fasa pertama.
Pada peringkat awal, tarikan utama Mimaland adalah taman haiwan prasejarah. Terdapat pelbagai binaan dan patung-patung dinosaur yang sangat besar dari segi saiz yang mana telah menjadi tumpuan orang ramai.

Ia mendapat perhatian sehingga digunakan sebagai lokasi penggambaran beberapa buah filem tempatan termasuklah Filem Mekanik (1983), Gila-Gila Remaja (1986), Tempo 88 (1987), Dendang Perantau ( 1979), dan Suara Kekasih (1983).

Antara dialog popular yang menyebut nama Mimaland adalah dalam satu babak Gila-Gila Remaja, di mana pelakon Faizal Hussein berkata, “Esok jangan lupa, Mimaland!”.
Harga yang dikenakan untuk memasuki Mimaland adalah RM2 bagi dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak.

Selepas sembilan tahun beroperasi, Mimaland telah membuka satu kolam renang baru untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Mimaland. Kolam renang tersebut dikatakan yang terbesar di Asia Tenggara pada ketika itu.
Bukan itu sahaja, ia juga menawarkan papan luncur air gergasi yang membuatkan tarikan baru ini menjadi kegemaran para pengunjung. Lokasi ini digunakan sebagai latar belakang adegan filem Tempo ’88.



Antara bahagian-bahagian lain di Mimaland termasuklah sebuah tasik yang menawarkan aktiviti bersampan dan memancing iaitu giant maze dan juga merentas rimba.
Pada tahun 1993, satu kejadian tidak diingini telah berlaku yang memberikan reputasi buruk kepada Mimaland. Seorang pengunjung warganegara Singapura yang berusia 27 tahun maut dalam satu kemalangan di kawasan papan luncur air gergasi.
Insiden ini telah mengejutkan orang ramai dan pihak Mimaland menutup lokasi yang terlibat untuk tujuan penambahbaikan.

Selepas pengubahsuaian dilakukan, ia kembali dibuka kepada orang ramai. Akan tetapi, pembukaan semula ini tidak kekal lama. Pada Mei 1994, satu lagi insiden telah berlaku di mana kejadian tanah runtuh telah menyebabkan dinding kolam renang yang sama telah mengalami kerosakan.
Tanah runtuh tersebut membuatkan air lumpur memenuhi ruangan kolam renang, yang menjadi penyebab mengapa ia ditutup kepada pengunjung. Berikutan kejadian-kejadian ini, pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan mengheret pihak pengurusan Mimaland ke muka pengadilan di atas beberapa dakwaan.

Antaranya termasuklah kelemahan kawalan keselamatan yang menjadi punca kepada pelbagai masalah. Pihak mahkamah mengarahkan Mimaland agar tidak meneruskan operasi ketika kes dibicarakan.
Mimaland yang tidak beroperasi tidak mampu bertahan dan akhirnya terpaksa ditutup secara kekal pada tahun 1994. Sejak itu, tapak lokasi taman tema ini menjadi terbiar seperti hutan yang menyeramkan.

Oleh sebab terbiar disebabkan tempoh yang lama, lokasi ini dikatakan berhantu dan menjadi antara tempat yang paling menyeramkan di Malaysia.