Sejarah Dan Kisah Di Sebalik Nama KFC

Wajah Coloners Sanders yang terpapar pada logo, kotak dan visual KFC pasti mengingatkan kita tentang pengasas KFC iaitu Colonel Harland Sanders. Tahukah anda, Colonel Sanders merupakan peniaga yang hanya mampu merasai hidup selesa pada hujung usianya?

Kisah perjalanan Colonel Sanders mengembangkan perniagaannya patut memberikan inspirasi kepada anak-anak muda yang baru berjinak-jinak hendak memulakan perniagaan kerana kejayaan terbukti tidak akan datang dengan mudah.

Harland Sanders lahir pada 9 September 1890 di Indiana. Harland mempunyai kehidupan awal yang susah selepas ayahnya meninggal dunia ketika usianya baru enam tahun dan dua adiknya yang masih kecil. Atas desakan hidup, ibunya terpaksa melakukan pelbagai kerja hanya untuk menampung keperluan hidup sementara Harland ditugaskan menjaga adik-adiknya di rumah, termasuklah menyiapkan adik-adiknya seperti mengemas rumah dan memasak.

Kemahiran memasaknya pula diasah daripada kesempitan hidup yang dirasai. Tidak cukup dengan itu, Harland telah mula bekerja pada usia 10 tahun untuk memastikan perbelanjaan rumah mencukupi. Pekerjaan pertama beliau adalah sebagai pembantu ladang dengan gaji dua dolar sebulan. Mungkin bosan dengan pekerjaannya, Harland telah memalsukan dokumen pengenalan diri lalu menyertai tentera.

Harland tidak kekal lama dalam tentera selepas ditugaskan di Cuba selama tiga bulan sebelum perkhidmatannya berakhir. Harland telah memulakan hidupnya di Alabama dengan melakukan pelbagai jenis pekerjaan bagi menampung hidup. Harland juga pernah mencuba nasib sebagai peguam, sebelum bertumbuk dengan anak guamnya sendiri di dalam mahkamah. Dia juga pernah menjadi bidan bersalin kerana pada waktu itu, ramai orang tidak mampu untuk mengupah doktor.

Harland akhirnya menemui kehidupan stabil sebagai pengusaha stesen minyak selama enam tahun sebelum Amerika mengalami kemerosotan ekonomi teruk yang digelarkan sebagai The Great Depression.

Pada tahun 1930, ketika berusia 40 tahun, Harland tidak mempunyai pendapatan tetap dan hampir muflis yang memaksanya ke sebuah daerah yang bernama Corbin di Kentucky. Di sana beliau mendapat kontrak dengan syarikat Shell untuk menguruskan sebuah stesen minyak yang baru dibina dan Shell membenarkan Harland dan keluarganya tinggal di situ.

Sayangnya Harland pada stesen minyak itu apabila wujud sebuah lagi stesen minyak berdekatan yang dikendalikan oleh syarikat lain. Merek berbalas-balas tembakan dengan pengusaha stesen tersebut atas dasar persaingan. Nasib menyebelahi Harland kerana lawannya yang melepaskan tembakan dahulu dan tidak ada pertuduhan dapat dibuat atas tindakannya.

Semakin hari semakin ramai pemandu yang berhenti mengisi minyak dan bertanyakan di mana lokasi yang menarik untuk makan. Melihat pemandu-pemandu yang menghadapi kesukaran mendapatkan makanan, Harland mula menjual makanan kepada pemandu yang singgah. Oleh kerana kekurangan tempat makan, semua pengunjung akan menggunakan meja makan keluarga Harland sebagai tempat untuk menjamu selera.

Rumah Harland yang menyediakan makanan menyelerakan membuatkan makin ramai orang datang berkunjung semata-mata untuk makan. Mula yang dihidangkan mula mengalami proses penambahan. Harland mula menyediakan steak, ham, telur, biskut, dan yang paling terkenal, ayam goreng.

Melihat perniagaannya mula laris, Harland kemudiannya membeli sebuah motel berdekatan dan mengubah suai menjadi restoran yang mampu menempatkan 142 tetamu dalam satu masa dan menamakannya ‘Sanders Court and Cafe‘.

Walaupun begitu, beliau masih menghadapi masalah apabila proses menyediakan ayam goreng agak perlahan sehinggakan pelanggan terpaksa menunggu lama. Ketika melawat kedai barangan elektrik di sekitar daerah tersebut, Harland menemui ‘periuk tekanan’ yang mampu memasak ayam goreng dalam waktu yang lebih singkat.

Pada tahun 1935, Gabenor Kentucky yang bernama Ruby Laffoon, menganugerahkan pangkat Colonel pada Harland Sanders atas sumbangannya dalam mempopularkan hidangan masyarakat tempatan Kentucky.

Sejak daripada hari itu, Harland Sanders mula dikenali dengan gelaran Colonel Sanders. Namun nasib tidak menyebelahi Colonel Sanders apabila pada awal 1950, lebuh raya yang baru dibina mengakibatkan orang ramai tidak lagu melalui jalan di mana restorannya berada.

Menyedari hakikat yang perniagaannya perlu berkembang ke luar, Colonel Sanders yang pada ketika itu sudah berusia 62 tahun, menjual semua asetnya dan mula berkelana mencari pengusaha yang mahu menggunakan resipi ayam goreng beliau untuk dijual di restoran mereka.

Restoran pertama yang telah bersetuju menjadi francais Colonel Sanders adalah sebuah hotel bernama Do Drop Inn yang terletak di Salt Lake City, Utah yang menjadi tapak pertama Kentucky Fried Chicken. Pada tahun 1952, Colonel Sanders berjaya menjual francaisnya kepada lebih 200 cawangan lain di serata Kanada dan Amerika Syarikat. Pada tahun 1964, Colonel Sanders menjual syarikat francaisnya dengan harga dua juta dan hanya meneruskan tugasnya sebagai duta kepada Kentucky Fried Chicken sehinggalah penghujung hayatnya.

Colonel Sanders didapati menghidap penyakit leukimia pada Jun 1980 sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 16 Disember 1980 ketika berusia 80 tahun.

Sumber: