Apabila mendengar perkataan “wayang” atau “filem”, sudah pasti ramai yang terbayang akan kemanisan ‘popocorn’ atau bertih jagung yang seolah-olah sinonim dengan dua perkataan itu.
Namun, pernahkah anda terfikir mengapa ianya telah menjadi satu budaya untuk kita makan bertih jagung ketika menonton wayang?
Pada pertengahan tahun 1800-an, ‘popcorn’ merupakan snek yang sangat popular di karnival dan pameran. Ketika mesin pembuat bertih jagung yang berkuasa stim pertama dihasilkan pada tahun 1885, pembekal jalanan mampu menghasilkan snek ini dengan mudah lalu dijual di tepi jalan.

Walau bagaimanapun, pemilik panggung wayang pada ketika itu seboleh-sebolehnya tidak mahu ada kaitan dengan snek ini. Mereka berusaha sedaya upaya untuk menjaga nama baik mereka agar penggunaan nama eksklusif teater tidak tercemar.
Mereka tidak mahu dikaitkan dengan makanan yang bising apabila dikunyah dan menyebabkan kawasan panggung bersepah ketika tayangan berlangsung.
Namun pada tahun 1927, filem bukan lagi untuk golongan elit sahaja. Orang ramai mula mengunjungi pawagam sebagai sebahagian daripada aktiviti harian mereka.
Pada masa yang sama, Great Depression atau keruntuhan ekonomi dunia sedang berlaku dan Amerika memerlukan hiburan yang murah dan mampu membantu mereka keluar daripada realiti sebenar kehidupan yang gelap pada ketika itu.
Disebabkan snek ini dihasilkan dengan kos yang murah, ianya dijual dengan harga yang murah iaitu sekitar 5 hingga 10 sen bagi setiap beg.

Ini secara tidak langsung telah menjadikan snek ini popular ketika Great Depression kerana orang ramai sanggup membelanjakan wang ke arah produk yang murah seperti bertih jagung dan tiket wayang di mana dua industri ini saling membantu antara satu sama lain.
Walaupun pada ketika itu bangunan panggung wayang masih tidak dilengkapi dengan alatan ataupun mesin untuk menghasilkan bertih jagung, penjual-penjual jalanan dengan bijaknya mengambil peluang tersebut dengan menjual secara terus kepada pelanggan.
Tanpa sedar, penjualan bertih jagung ini sudah merebak ke merata tempat. Penjual-penjual akhirnya diberikan kebenaran untuk menjual snek ini di lobi-lobi panggung secara terus dengan sedikit bayaran kepada pemilik.
Melihatkan sambutan yang luar biasa terhadap penjualan snek ini, pemilik panggung akhirnya membuat keputusan untuk tidak lagi membenarkan penjual jalanan berniaga, sebaliknya mereka perlu menjual bertih jagung ini sendiri.

Namun, pemilik yang enggan mengikut ‘trend’ terpaksa berhadapan dengan masalah besar kerana snek murah ini mendapat permintaan yang sangat tinggi. Malah lebih menarik lagi, seorang pemilik panggung wayang telah menurunkan harga tiket wayang hanya kerana ingin menggalakkan orang ramai untuk datang membeli bertih jagung.
Bagi pemilik-pemilik ini, satu-satunya cara untuk bertahan ketika Great Depression adalah dengan memberikan apa yang orang ramai inginkan.
Sejak itu, ‘trend’ ini diteruskan sehingga ke hari ini di mana bertih jagung menjadi makanan wajib bukan sahaja bagi mereka yang menonton wayang di pawagam, malah mereka yang menonton filem dari rumah juga.
Jadi, adakah anda menjadikan popcorn sebagai makanan wajib ketika menonton wayang di pawagam? Kongsikan kisah anda di ruangan komen di bawah.