Pembangunan teknologi 5G sudah berkembang sedikit demi sedikit di beberapa negara seluruh dunia. Kehadiran teknologi sambungan tanpa wayar generasi kelima ini dianggap akan memudahkan kerja kita untuk mengawal segalanya melalui Internet of Things (IOT).
Masalahnya ramai yang masih skeptikal dengan usaha pembangunan untuk membawa dunia kepada 5G kerana ada sesetengah negara sukar menerima akses dan ada juga yang baru membiasakan dengan rangkaian 4G.
Istilah 5G muncul buat pertama kali pada 2016 apabila Michael Lemke melakukan penyelidikan berkenaan teknologi komunikasi di Universiti Teknologi Dresden.
Susulan itu, kerajaan Jerman telah menyediakan segala-galanya bagi merealisasikan penciptaan 5G yang dikatakan 20 kali lebih laju berbanding 4G.
Jerman berharap mereka mampu menjadi pemula kepada 5G dengan kegiatan penyelidikan berbekalkan 60 orang profesor termasuk 600 pekerja di 5G Lab Germany, Universiti Teknologi Dresden.
Walau bagaimanapun, Verizon mendakwa mereka merupakan pencetus terawal 5G. Ini kerana mereka telah memperkenalkan G Technology Forum (5GTF) dengan kerjasama Ericsson, Qualcomm, Intel dan Samsung pada tahun 2015.
Manakala beberapa kuasa besar dunia seperti Amerikat Syarikat, Korea Selatan, China dan Jepun tidak ketinggalan dan mula membangunkan teknologi 5G mereka sendiri.
Malah Google turut sama mengambil bahagian dalam perlumbaan ini dengan memperkenalkan versi 5G mereka sendiri iaitu SkyBender.
Banyak percubaan telah dibuat dari pelbagai pihak dalam membangunkan 5G tetapi mengalami kegagalan sehinggalah menuju tahun 2019.
Ketika itu, Verizon melancarkan 5G yang pertama melalui perkhidmatan mudah alih di Chicago dan Minneapolis.
Namun begitu, Korea menyatakan mereka berjaya menewaskan USA dan China dalam persaingan kemajuan 5G melalui SK Telecom dan KT Corp.
Pihak Verizon menyangkal kenyataan itu dan mereka mula meluaskan akses tersebut kepada 12 bandar di Amerika Syarikat.
Perkara ini sekaligus menjadikan Amerika Syarikat sebagai negara pertama yang menerima pancaran 5G dengan lebih besar.
Seterusnya, Huawei pula cuba menukar permainan setelah menjadi pemain utama 5G sehingga menggusarkan Amerika Syarikat.
Boleh disimpulkan bahawa teknologi 5G yang sebahagian dinikmati hari ini adalah berasal daripada persaingan syarikat dan kuasa-kuasa besar.
Oleh itu, sebenarnya persaingan yang baik sangat bagus kerana dapat melahirkan produk terbaik di antara yang terbaik seperti perkembangan 5G yang kita lihat ini.
Hari ini kita sendiri dapat melihat semakin banyak negara memiliki akses kepada ini. Perkara paling mengejutkan adalah hampir kesemua tempat di Thailand mempunyai akses 5G.
Manakala di Malaysia, hanya beberapa lokasi sahaja mempunyai rangkaian 5G dan masih dalam transisi untuk beralih kepada 4G sepenuhnya.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: