Segi Tiga Bermuda, Menyimpan Seribu Misteri Dan Cetus Pelbagai Teori?

Segi tiga bermuda

Segi tiga syaitan atau lebih dikenali sebagai segi tiga bermuda, sudah tentu ramai yang tahu tentang tempat ini. Hingga kini, tempat ini sangat misteri dan hangat diperkatakan oleh orang ramai.

Mendapat nama sempena negara Bermuda dan terletak di bahagian barat laut Atlantik utara. Florida, Bermuda dan Puerto Rica merupakan tempat yang membentuk titik segi tiga ini. Dilaporkan ramai yang hilang secara tiba-tiba hingga hari ini menyebabkan kawasan itu menjadi misteri.

Segi Tiga Bermuda, Menyimpan Seribu Misteri Dan Cetus Pelbagai Teori?
Florida, Puerto Rico dan Bermuda membentuk titik segi tiga bermuda
Sumber: Bobo.id

Apakah misteri yang tersimpan di sebalik segi tiga ini? Mari kita rungkai satu-persatu kejadian misteri yang berlaku di kawasan itu.

Perkara ini pernah dikaitkan bagi sesetengah orang dengan kemunculan Dajjal yang akan keluar dari situ, begitu juga kehadiran UFO. Tidak kurang juga dengan kehilangan sepasukan kapal terbang tentera, kapal terbang serta kapal kargo yang menjadi bualan hangat.

Ada juga yang mengatakan kawasan itu menjadi misteri kerana wujudnya kerajaan Atlantis di situ. Kawasan segi tiga ini merupakan laluan bagi kapal yang menghala ke Amerika dan benua Eropah serta paling sibuk di dunia.

Menurut laporan, sebanyak 300 kapal, 75 buah kapal terbang dan 1,000 mangsa disahkan hilang tanpa jejak. Berdasarkan kajian yang dilakukan, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya kehilangan secara misteri itu. Faktor tersebut dikaitkan dengan keadaan arus teluk sekuat hingga mencapai 6 knot dapat melumpuhkan kapal yang berlayar di kawasan tersebut.

Berikutan itu, ada teori yang mengatakan bahawa keadaan cuaca di kawasan segi tiga tidak berapa elok. Antara faktor lain mengapa kapal terbang mudah terhempas di sekitar kawasan perairan segi tiga bermuda kerana seringkali mengalami cuaca buruk. Bukan itu sahaja, kawasan segi tiga ini sering dilanda ribut taufan mengikut kajian daripada para saintis.

Pada tahun 1945, sekumpulan 5 buah kapal terbang tentera milik Amerika Syarikat hilang secara tiba-tiba. Penerbangan 19 merupakan salah satu kapal terbang yang paling terkenal dilaporkan hilang di kawasan tersebut.

Selain daripada itu, kapal terbang yang menyertai misi menyelamat juga turut hilang. Sebelum hilang dari radar, kapten kapal sempat menghubungi bilik kawalan dengan memberitahu kekeliruan yang mereka hadapi dan tidak dapat mengenal pasti keberadaan yang sebenar disebabkan kompas tidak berfungsi dengan baik.

Beberapa pendapat yang diutarakan mengenai kawasan tersebut, apabila berada di sekitar segi tiga bermuda, segala kelengkapan elektronik tidak akan berfungsi. Alat pandu arah seperti kompas akan berpusing tidak tentu, seolah-olah ada kuasa ghaib yang menguasai kawasan itu.

Berdasarkan kajian daripada saintis, Bermuda pada suatu masa dahulu mempunyai sebuah gunung berapi. Magma yang mengalir keluar ke permukaan bumi merupakan penyebab berlakunya gangguan magnetik pada kompas tetapi tidak pasti sama ada berlaku pada kompas digital dalam telefon pintar.

Pendapat lain mengatakan bahawa terdapat buih-buih methane di bawah laut segi tiga bermuda hingga boleh mengakibatkan pelbagai jenis kapal terperangkap di dalamnya. Tidak kurang juga spekulasi seperti ombak raksasa datang secara tiba-tiba menghentam kapal-kapal yang berada di sekitar lautan tersebut.

Pada kawasan segi tiga tersebut, didapati bahawa terdapat awan berbentuk seperti hexagon mengikiut radar yang diteliti oleh saintis dari Universiti Colorado di Amerika Syarikat. Keadaan awan tersebut disifatkan sebagai bom udara yang meniup selaju 170 batu sejam hingga boleh mengakibatkan ombak besar. Tekanan yang terhasil melalui gabungan ombak dan angin yang kuat itu tidak akan mampu dihadapi oleh mana-mana kapal dan kapal terbang.

Walau bagaimanapun, saintis yang melakukan kajian lengkap berkenaan kejadian paranormal ini, banyak lagi misteri sukar diungkap dan belum terjawab sehingga kini. Tambahan pula, lautan di bumi ini masih banyak menyimpan seribu rahsia yang belum diterokai secara meluas oleh saintis.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: