“Saya Dihukum Kerana Buat Kebajikan.” – Najib Razak

Baru-baru ini, Datuk Seri Mohammad Najib Abdul Razak telah didapati bersalah atas tujuh pertuduhan termasuk pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International.

Walaupun begitu, bekas Perdana Menteri Malaysia itu menyifatkan keputusan mahkamah berkenaan sebagai tidak adil terhadap dirinya menerusi sebuah video di laman Facebook.

Najib turut mendakwa dana SRC itu bukannya untuk kegunaan diri sendiri sebaliknya ia digunakan untuk tujuan program kebajikan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi anak-anak yatim.

“Saya dihukum kerana membuat kebajikan, menjaga anak yatim dan persekolahan mereka,” ujarnya.

Sumber: Astro Awani

Menurut beliau lagi, hukuman denda sebanyak RM210 juta yang dikenakan ke atasnya tidak setimpal dengan dana sebanyak RM42 juta tersebut.

Hal ini demikian kerana beliau telah membelanjakan 99 peratus daripada dana tersebut untuk tujuan CSR. Najib menjelaskan bahawa hukuman itu boleh diibaratkan seperti beliau perlu membayar denda sebanyak RM5 bagi setiap RM1 yang dibelanjakan.

Dalam pada itu, beliau turut mempertikaikan kenyataan Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang tidak percaya dengan kewujudan derma daripada keluarga diraja Arab Saudi sedangkan saksi-saksi berkata sebaliknya.

Sementara itu, Najib turut berikrar dalam video sama untuk mencabar keputusan mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas dirinya di Mahkamah Rayuan.

Untuk pengetahuan anda, pihak mahkamah telah membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan dengan membayar ikat jamin tambahan sebanyak RM1 juta.

Pada pendapat anda, adakah beliau patut menerima hukuman yang jauh lebih berat atau sebaliknya?

Saya faham ramai yang tertanya-tanya dan bimbang tentang keputusan kes SRC terhadap saya.Saya gunakan peluang ini untuk menjelaskan sedikit dari sudut saya.

Posted by Najib Razak on Monday, August 3, 2020