Menurut satu data ranking global bagi tahun 2022, Jepun dan Singapura didedahkan masih memegang pasport yang paling berkuasa di dunia. Di mana, dengan menggunakan pasport tersebut, rakyat negara berkenaan mampu merentas ke 192 negara tanpa memerlukan visa.
Memegang tempat kedua pula, pasport Jerman dan Korea Selatan mampu terbang ke 190 buah negara tanpa visa. Finland, Itali, Luxembourg dan Sepanyol pula berkongsi kedudukan ketiga dengan skor sebanyak 189.
Manakala di tempat paling bawah dalam senarai kedudukan itu, ialah negara Afghanistan di mana rakyatnya hanya mampu memasuki 26 negara tanpa memerlukan visa.

Kedudukan tersebut dikeluarkan oleh Henley Passport Index berdasarkan data eksklusif daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). Kedudukan ini dikira berdasarkan bagaimana pemegang pasport sesebuah negara boleh memasuki negara-negara lain tanpa menggunakan visa.
Untuk pengetahuan anda, di dalam laporan tersebut, Malaysia pula berada di kedudukan ke-12. Pemegang pasport negara ini mempunyai akses kepada 179 buah negara tanpa memerlukan visa.

Dr. Christian H Kaelin, Pengerusi Henley & Partners dan pencipta idea indeks pasport, berpendapat bahawa membuka semula laluan penghijrahan adalah penting untuk pemulihan pasca pandemik.
Katanya, “Pasport dan visa adalah antara instrumen yang penting dalam memberikan kesan kepada ketidaksamaan sosial di seluruh dunia kerana ia menentukan peluang untuk mobiliti global.
“Sempadan di mana kita dilahirkan, dan dokumen yang kita berhak pegang, tidak kurang penting daripada warna kulit kita.
“Negeri yang lebih kaya perlu menggalakkan migrasi masuk yang positif untuk membantu mengagihkan semula dan mengimbangi semula sumber manusia dan bahan di seluruh dunia, termasuk meningkatkan saiz dan kualiti tenaga kerja mereka sendiri.”
Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: