Relevan Lagikah Universiti Pada Zaman Pasca Moden?

RELEVAN LAGIKAH UNIVERSITI PADA ZAMAN PASCA MODEN? 

Aku menonton video YouTube Vox tentang hutang pelajar universiti yang sudah mencecah AS$1.6 trillion (RM6.66 trillion). Dan sempena pilihanraya Amerika Syarikat tahun depan, dua calon presiden yang utama, Bernie Sanders dan Elizabeth Warren membuat manifesto bahawa mereka akan hapuskan hutang pelajar. 

Macam biasa dengar je, kan?

Kemudian aku menonton pandangan Tucker Carlson, seorang talkinghead dari Fox News tentang hutang pelajar. Tucker Carlson merasakan cara Bernie Sanders dan Elizabeth Warren itu populis dan hanya mahu menang undi. 

Carlson berkata, sementara pihak kolej atau universiti menaikkan yuran kolej atau universiti sesuka hati, pelajar terpaksa menanggung hutang ini kerana peluang pekerjaan memerlukan bachelor degree dan ke atas. 

Untuk dapat kerja yang stabil pada masa depan, orang muda kena masuk universiti dan mereka yang nak masuk universiti, terpaksa mengambil hutang yang tinggi akibat pihak universiti menaikkan harga yuran. 

Soalan yang diajukan Carlson: atas alasan apakah yuran ini naik? Adakah harga buku naik? Atau adakah kursus-kursus yang ditawarkan tidak lagi relevan pada zaman sekarang, menyebabkan selepas tamat pendidikan, terus sukar mendapat peluang pekerjaan dan terus menganggur, atau bekerja lompat-lompat di Starbucks dan McD?

Pihak universiti yang banyak duit tidak pula mahu menanggung apa-apa sekiranya pelajar itu gagal. Dan dengan gaji pensyarah dan dekan sampai 6 angka, apa yang relevannya universiti hari ini? 

Aku bukan seorang pelajar yang bagus, baik di sekolah atau di universiti. Kecuali matapelajaran Bahasa Melayu, Geografi, Sejarah, Alam Dan Manusia (masa sekolah rendah) dan Pengajian Am (masa Tingkatan 6), aku tak pernah dapat A dalam subjek utama terutamanya sains dan matematik.  

Aku mengenali YouTube pada tahun 2006 – antara manusia terawal yang ada akaun YouTube masa aku kat universiti dulu. Masa tu aku suka follow video kucing lawak, meme fan Britney Spears menangis, lagu meme White Chicks and The Gang Sign dan video tikus hamster lari comel. Menjelang 2008/09 meme budak emo macam Boxxy menjadi tontonan kerap. 

Tapi ada sesuatu yang ajaib tentang YouTube. Dengan Youtube, orang mula buat dokumentari pendek tentang benda-benda yang kau nak tau. Aku belajar tentang thermodynamics dari YouTube walaupun aku ni seorang C student dalam sains. 

Aku juga mula mempelajari banyak benda dalam YouTube seperti falsafah, geologi, sejarah, politik, anthropologi, bahkan resipi memasak. 

YouTube jelas menggantikan televisyen dan masa zaman TV, aku adalah documentary addict. Sementara orang ramai gemar tonton video viral (berdasarkan kalau aku tak login aku tengok paling ramai viewers), aku banyak follow channel documentaries.

Anyway, sejak ada YouTube ni, banyak benda aku belajar walaupun tak lengkap macam belajar di universiti. Yelah, kalau nak lengkap kenalah masuk Curiousity Stream atau Khan Academy. 

Tapi aku melihat masa depan pendidikan adalah pada video sebab masa student, aku rasa mengantuk gila dengar lecturer aku membebel dan kalau aku terlepas, aku tak boleh tekan butang back. Dan aku tak boleh skip kalau aku bosan dengar. 

Dengan pendidikan secara video online, ia akan mewujudkan tiga benda, yang aku fikir:

1) Universiti semakin tidak relevan sebab generasi muda (Gen Z) melihat abang-abang dan kakak-kakak millennials mereka menanggung hutang universiti yang tinggi. 

2) Pendemokrasian dan desentralisasi pendidikan. Ini sejajar dengan prinsip pasca moden yang menolak uniformiti modenisme. Maknanya kau boleh belajar apa sahaja kau suka asalkan kau minat dan kau rasa kau nak belajar, kau belajar. 

3) Pendidikan tidak perlu lagi berjadual dan perlu tinggalkan rumah. Kau tak payahlah nak suruh kawan kau tolong tick attendance, kau masih boleh belajar masa kau atas katil di rumah. 

Teknologi mengubah manusia dan sekaligus menukar sistem sekali. Internet memacu manusia untuk meninggalkan modeniti yang skema, one-size-fits-for-all, rigid dan buatkan semua pelajar universiti ni macam pekerja kilang.

Tetapi ada satu persoalan dari modenis: kalau tak ada universiti, siapa yang nak tentukan apa yang dipelajari itu benar? Kerana universiti mempunyai pakar – seperti PhD dan Professor misalnya. 

Kerana itu orang ramai lebih berminat tonton video YouTube daripada pergi kuliah. Orang lebih gemar tengok video Ustaz Azhar Idrus daripada pergi surau dengar ceramah. Kerana itu wujudnya Masterclass, di mana pakar-pakar seperti Neil Gaiman, Gordon Ramsay dan Martin Scorsese mengajar dalam kepakaran masing-masing di situ.

Kita semua tahu tentang hakikat yang sebenar – tidak ada benda yang percuma kecuali air mata. Dan orang yang berjanji percuma tu sebenarnya ambil duit orang lain menerusi cukai.  

Kita sudah hidup di zaman pasca moden, tapi sistem pendidikan masih moden, dah ketinggalan zaman. Moden ni dah lapuk. Bahkan ayat yang aku selalu dengar “teknologi serba moden” ni dah ada lama dah. Zaman atok aku dah pakai perkataan macam tu. 

Sebagaimana kita sudah tinggalkan zaman moden, sistem pendidikan moden juga kita harus tinggalkan.

Sebab kita dah berada di zaman pasca moden. Selepas moden.

Universiti bukan sahaja makin mahal dan makin menimbulkan hutang, tetapi pelajaran yang diajar semakin tidak relevan. Buktinya, makin ramai pelajar susah nak dapatkan job sebab mereka belajar benda yang dah 50 tahun lepas. 

Dijangkakan pada tahun 2025 nanti, separuh daripada peluang pekerjaan akan wujud dari bidang yang belum wujud lagi hari ini. Lagi 6 tahun sahaja lagi. Jadi kenapa kau nak belajar ilmu yang 50 tahun lepas dan bidang tu dah tak ada pun dalam peluang pekerjaan atau sudah diautomasikan, tapi takde pulak pelajaran untuk bidang yang belum wujud ni? 

Zaman dah berubah. Kawan aku dulu budak flat PPR, jangankan tanam pokok, tengok pokok pun aku rasa dia jarang. Hari ni sebab dia belajar teknik menanam tanaman kat Youtube, dia dah bukak ladang serai kat Dusun Tua. Untuk permintaan Kajang dan Bangi sahaja dia dah boleh capai pendapatan enam angka sebulan. 

Ada berapa banyak kedai tomyam yang nak pakai serai kat Kajang dan Bangi ni? 

Masa dah berubah. Mungkin universiti dah tak lagi relevan pada aku. Mungkin dalam bidang teknikal, dah boleh start fokus buat channel YouTube je lah. Jimat sikit kos daripada projek juta-juta bina kompleks itu, kompleks ini. 

Lepas tu pelajar menanggung hutang yang besar sampai kena tanggung bayar lama. 

Daripada kau harapkan pendidikan percuma, baik kau harapkan pendidikan boleh belajar dalam internet je. Lagi murah tanpa korbankan wang cukai rakyat.