Baru-baru ini, Daily NK mendakwa ratusan pekerja syarikat perdagangan dan ejen rahsia dari Jabatan Perindustrian Pembekalan Senjata (MID) Korea Utara tidak dijemput pulang walaupun pejabat kedutaan negara pimpinan Kim Jong-un itu sudah ditutup di Malaysia beberapa minggu lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Menteri Kanan (Keselamatan) iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak Kementerian Pertahanan akan menyiasat dakwaan tersebut dengan lebih terperinci.

“Setakat hari ini, pihak kami masih belum menerima apa-apa laporan yang melibatkan isu berkenaan daripada unit perisikan dan sebagainya. Kadangkala mereka (Korea Utara) sekadar hanya mahu menggempar kita sahaja. Kita tidak tahu.
Jadi, kita tidak boleh terlalu cepat memberikan jawapan yang mungkin menyebabkan keadaan berubah menjadi lagi keruh. Kita perlu siasat terlebih dahulu,” ujarnya selepas selesai Majlis Penamaan Kereta Perisai Mobiliti Tinggi (HMAV 4X4) Pertama Malaysia di Kem Perdana Sungai Besi.
Ismail Sabri menjelaskan isu tersebut turut berkait rapat dengan bidang kuasa pihak Kementerian Luar Negeri yang mungkin sudah mengadakan rundingan dan perbincangan bersama wakil kementerian Korea Utara.
Dalam pada itu, media tempatan itu turut mendakwa bahawa ada sekumpulan pekerja syarikat perdagangan dari republik berkenaan terlibat dalam penyeludupan barangan mewah ke Korea Utara.
Ejen rahsia MID di Malaysia pula disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan senjata. Kedua-dua kumpulan tersebut dilaporkan mengeluh bahawa misi mereka menjadi lebih sukar selepas penutupan kedutaan Korea Utara di Malaysia.

Ini kerana ejen rahsia dipercayai terpaksa menggunakan cara lain untuk terus berhubung dengan pengendali mereka di Pyongyang. Kumpulan berkenaan juga terpaksa merancang dan menyesuaikan diri dengan sistem pelaporan baharu di Malaysia.
Dalam pada itu, laporan media tersebut turut mendakwa pihak berkuasa Malaysia tidak peka dengan kehadiran ejen rahsia Korea Utara yang dikatakan sudah beberapa dekad berada di sini.
Hal ini demikian kerana semua ejen tersebut menggunakan identiti dan pasport palsu sepanjang misi terbabit. Untuk pengetahuan anda, laporan tersebut turut mendakwa Malaysia dijadikan lokasi transit penyeludupan senjata dan barangan mewah ke Korea Utara yang dibawa dari Timur Tengah dan Afrika.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: