Langkawi merupakan sekumpulan 99 buah pulau tropika yang terletak di persisiran barat laut Semenanjung Malaysia. Kedudukannya lebih kurang 30 km dari Kuala Perlis dan 51 km dari Kuala Kedah. Pulau utama dan paling terkenal ialah Pulau Langkawi. Pulau-pulau ini mempunyai cerita mitos zaman-berzaman dan juga kisah legenda yang menarik. Kisah yang paling popular dan diketahui ramai ialah kisah Legenda Mahsuri Wanita berdarah putih.
Pulau Langkawi telah dianugerahkan status sebagai “Geopark” oleh UNESCO kerana keindahan warisan geologinya yang terdiri daripada landskap yang indah, binaan batu kapur, gua, gerbang laut, longgokan rumput kering, batu tinggalan glasier serta fosil-fosil yang terdapat di situ. Dengan sejarah geologi sejak dari 500 juta tahun yang lalu, pulau-pulau ini mempunyai formasi batu unik yang mampu membangkitkan imaginasi dan mengelirukan minda.
Pulau ini merupakan salah satu tempat yang sangat strategik dan sesuai untuk merehatkan minda setelah penat bekerja bagi mereka yang ingin jauh daripada kesibukan kota.
Kini, selain menjadi tempat untuk bercuti, Pulau Langkawi juga merupakan satu tempat yang bebas cukai. Kebanyakkan pelancong yang datang ke sini tidak melepaskan peluang untuk membeli-belah di pulau ini kerana harganya adalah murah berbanding tempat lain.
Berikut merupakan antara beberapa kisah legenda pulau ini:
Legenda Mahsuri

Kisah ini amat terkenal dan dipercayai merupakan satu kisah legenda yang benar. Mahsuri merupakan anak perempuan kepada pendatang Siam yang beragama Islam. Pada suatu hari, Mahsuri telah dituduh melakukan perbuatan sumbang oleh ibu mertuanya sendiri kerana ibu mertuanya merasa iri hati dengan kecantikan dan penghormatan yang dimiliki oleh Mahsuri. Akibat daripada pertuduhan ini, Mahsuri dihukum mati.
Pada hari berlakunya hukuman, keris keramat kepunyaan keluarga Mahsuri sendiri digunakan untuk membunuhnya. Akan tetapi, terdapat satu perkara di luar jangkaan telah berlaku dimana darah yang keluar daripada tubuh Mahsuri merupakan darah berwarna putih. Perkara itu dikatakan adalah bukti bahawa tuduhan yang dilemparkan kepadanya adalah fitnah semata-mata.
Disaat hujung nyawanya, Mahsuri sempat bersumpah bahawa Langkawi tidak akan aman dan maju selama tujuh keturunan. Kebenaran terhadap sumpahan Mahsuri itu seakan termakbul apabila Langkawi telah diserang oleh tentera Siam dan semua bekalan makanan dan tanaman telah dimusnahkan dengan teruk.
Antara sebab kisah legenda ini benar dan terbuktinya sumpahan itu, Langkawi hanya mula berkembang maju setelah tujuh keturunan berada di dalam kepayahan dan kesusahan.
Tasik Dayang Bunting

Tasik ini diberi nama sebegitu kerana menurut satu legenda lama, ia berkisahkan tentang perkahwinan seorang puteri kayangan bersama seorang putera raja kerajaan bumi. Anak yang lahir hasil daripada perkahwinan mereka itu telah mangkat sejurus ia dilahirkan. Oleh sebab puteri kayangan ini terlalu sedih dan kecewa dengan kejadian yang berlaku, beliau telah menyemadikan mayat anaknya ke dalam air tasik ini.
Selepas itu, beliau telah meninggalkan bumi dan kembali ke kayangan iaitu tempat asalnya. Puteri itu telah menjampi air tasik tersebut sebagai penawar kepada pasangan yang tidak mendapat zuriat dan wanita yang mandul untuk kembali subur.
Mat Chincang Dan Mat Raya

Mat Chinchang dan Mat Raya dikenali sebagai keluarga gergasi atau besar yang tinggal di pulau utama di Pulau Langkawi. Disebabkan oleh saiz mereka yang besar serta kekuatan tenaga luar biasa yang dimiliki oleh mereka, bentuk muka bumi Langkawi telah berubah dengan dramatik.
Kisah legenda mereka bermula apabila Mat Raya bercadang untuk mengadakan kenduri bersempena dengan pertunangan anak perempuannya dengan anak lelaki Mat Chinchang. Pada hari majlis itu berlangsung, dikatakan anak lelaki Mat Chinchang telah melakukan satu perbuatan sumbang dengan seorang anak dara. Perkara ini sudah pasti mencetuskan kemarahan Mat Raya.
Akibat daripada peristiwa itu, persahabatan di antara kedua-dua keluarga ini terputus dan mereka saling bermusuhan sehingga berlakunya pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Dipercayai pergaduhan di antara dua keluarga ini telah mengubah kawasan pulau utama ini dimana tempat cincin pertunangan itu jatuh selepas dicampakkan dan ia dinamakan sebagai Tanjung Cincin.
Tempat di mana peralatan yang digunakan untuk memasak itu pecah telah dinamakan sebagai Kampung Belanga Pecah. Manakala kuah yang mengalir itu dinamakan Pekan Kuah dan tempat di mana kuah itu meresap ke tanah dinamakan Kisap. Selain itu, kawasan Air Hangat yang mempunyai perigi air panas berasal daripada bekas memasak air yang telah pecah ketika majlis itu berlangsung.

Mat Raya dan Mat Chinchang pula telah bertukar menjadi gunung batu yang dikenali sebagai Gunung Raya dan Gunung Chinchang. Manakala, Mat Sawar yang menjadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah pertelingkahan mereka berdua ini telah pun bertukar menjadi sebuah bukit yang menjadi pemisah kepada kedua-dua gunung ini.
Begitulah serba sedikit kisah legenda yang dikatakan pernah berlaku di pulau bersejarah ini. Tidak kiralah sama ada kisah ini benar-benar berlaku ataupun tidak, tetapi segala yang diceritakan ini ada nilai dan pengajaran yang ingin disampaikan serta boleh menjadi tauladan kepada semua.