PRU Britain: Kemenangan Boris, Brexit Semakin Hampir?

Kemenangan Boris Johnson dan Parti Konservatif pada pilihan raya Britain diumumkan pada jam 10 malam waktu Greenwich (6 pagi waktu Malaysia) tadi, menunjukkan reaksi rakyat Britain yang mahu kemelut Britain untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU) menerusi referendum yang dijalankan pada 2016 yang lalu, diteruskan.

Kemelut yang berlangsung selama hampir 3 tahun setengah ini memaksa dua orang Perdana Menterinya, David Cameron dan Theresa May meletakkan jawatan, serta terpaksa melangsungkan dua kali pilihan raya umum untuk menyelesaikannya.

Setakat tulisan ini ditulis, Parti Konservatif pimpinan Boris Johnson telah memenangi 364 kerusi, melebihi 326 untuk majoriti mudah untuk membentuk kerajaan majoriti.

Parti Buruh, pimpinan Ketua Pembangkang Jeremy Corbyn pula mendapat 203 kerusi, yang terburuk semenjak 1979 apabila Margaret Thatcher menang pilihan raya dan menjadi Perdana Menteri pada ketika itu.

Tetapi kemelut Brexit ini sebenarnya bermula jauh lagi sebelum Perdana Menteri Britain, David Cameron mengumumkan manifesto pilihan raya 2015 untuk referendum Brexit pada tahun berikutnya, sekaligus memecahkan Britain kepada dua kem, Remain dan Leave.

BRITISH DI DALAM KESATUAN EROPAH

Asas kepada Kesatuan Eropah sebenarnya berasal dari Treaty of Rome yang dimaterai antara enam negara iaitu Jerman Barat, Perancis, Itali, Belanda, Belgium dan Luxembourg pada tahun 1957.

United Kingdom mahu menyertainya, tetapi diveto oleh Presiden Perancis, Charles de Gaulle kerana pengeluaran pertanian United Kingdom yang bersaing dengan negaranya. Bagaimanapun selepas de Gaulle letak jawatan, United Kingdom mencuba untuk masuk dan pada 1973, mereka menyertai EEC.

Pada tahun 1975, United Kingdom membuat satu referendum untuk kekal dalam EEC (nama lama EU) yang dikenali sebagai Common Market, untuk memastikan barangan dari United Kingdom tidak dikenakan tarif yang dikenakan oleh negara-negara EEC untuk memasuki negara-negara tersebut.

Dalam referendum itu, 67% rakyatnya bersetuju untuk kekal dalam Common Market dan semenjak itu, United Kingdom adalah ahli tetap EEC dan kemudiannya menjadi EU selepas runtuhnya Tembok Berlin.

Pun begitu dengan menyertai EU, banyak keputusan berkenaan undang-undang mula mendapat campurtangan dari ibu pejabat EU di Brussels, Belgium, terutamanya dalam hal ehwal perdagangan dan perikanan.

Dalam sektor perikanan, misalnya, Britain perlu mengikut kuota yang ditetapkan di perairannya agar negara lain dapat juga mendapatkan ikan di perairannya. Ini menyebabkan industri perikanan di Britain mulai susut pengaruhnya dan mengakibatkan ramai pekerja terutamanya dalam sektor tersebut mula hilang sumber pendapatan.

Selain itu, persaingan dengan Jerman terutamanya dalam sektor perindustrian menyebabkan kawasan yang dahulunya mencetuskan Revolusi Perindustrian seperti Liverpool, Manchester, Leeds, Sheffield, Newcastle dan Wokington mula merasakan ekonomi setempat di situ semakin merudum.

Atas desakan ekonomi disamping suara golongan nasionalis yang mula tidak suka dengan campurtangan EU dalam urusan perdagangan dan dasar ekonomi Britain, mendesak kerajaan untuk melaksanakan referendum.

Terdesak dengan kedudukannya dalam parti serta persaingan dengan Boris Johnson, Perdana Menteri United Kingdom yang semasa kempen pilihan raya 2015, mengumumkan manifesto untuk melakukan referendum Brexit pada tahun hadapan.

23 MEI 2016 – TARIKH YANG MENGUBAH SEJARAH BRITAIN

Referendum itu menyebabkan Parti Konservatif terbelah dua – Pro-Remain, atau kekal dalam EU dipimpin oleh Perdana Menteri, David Cameron, sementara yang Pro-Leave, atau yang mahu keluar dari EU pula dipimpin oleh beberapa orang ahli parti Konservatif seperti Boris Johnson dan Michael Gove.

Tetapi referendum ini juga memecahkan parti Buruh, yang dipimpin oleh Jeremy Corbyn, seorang ahli parti Buruh yang ekstrem kiri. Di sebelah London, ramai ahli parti Buruh yang pro-Remain, tetapi di kawasan perindustrian lama yang digelar sebagai “The Red Wall” pula menyokong Leave.

Tambahan pula parti seperti United Kingdom Independence Party (UKIP) yang dipimpin oleh Nigel Farage, yang berkempen kuat untuk keluar dari EU, mendapat momentum daripada pilihan raya EU yang dimenangi mereka pada tahun 2014.

Pada referendum tersebut, pihak pro-Leave menang sebanyak 52%, dan kemenangan itu disifatkan oleh Farage sebagai “hari kemerdekaan United Kingdom daripada EU.”

David Cameron kemudian meletakkan jawatan, dan Perdana Menteri digantikan oleh Theresa May, perdana menteri Britain wanita kedua selepas Margaret Thatcher.

Theresa May kemudiannya membubarkan Parlimen pada tahun 2017 untuk mendapatkan mandat baru, namun keputusan pilihan raya tidak menyebelahi Parti Konservatif, kerana mereka hanya memenangi 317 kerusi, kurang daripada 326 yang diperlukan untuk kerajaan majoriti.

Ditambah pula dalam partinya, terdapat dua kem iaitu Pro-Remain dan Pro-Leave, menyebabkan keputusan Parlimen Britain seringkali mendapat halangan dan Theresa May gagal menyatukan partinya, menyebabkan dia terpaksa meletakkan jawatan.

Dalam pemilihan Parti Konservatif, Boris Johnson telah menang dan meletakkan Brexit sebagai matlamat utama untuk beliau sebagai Perdana Menteri.

Dan dengan berjaya menyakinkan Parlimen untuk dibubarkan untuk menyelesaikan Brexit, disamping menyatukan Parti Konservatif, kemenangan Boris ini dilihat sebagai momentum yang jitu dari pro-Leaver disamping mandat yang kuat daripada rakyat untuk United Kingdom keluar daripada cengkaman EU.