Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan mengapa beliau ‘diserang’ sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Melalui hantaran catatan terbaharu di Facebooknya, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu berkata, pelbagai skrip lama diulang kembali, termasuk permohonan beliau di bawah akta kerajaan untuk mendapatkan rumah.
Beliau mendakwa, pelbagai serangan yang dilakukan itu adalah propaganda untuk menghasut rakyat Melaka membencinya.
“Cerita permohonan saya untuk diberi kediaman di bawah akta kerajaan yang saya buat pada tahun 2018 selepas PRU14 tiba-tiba dikeluarkan menjelang hari mengundi PRN Melaka.”
“Tiba-tiba diberi nilai RM100 juta. Sedangkan ianya tanah kerajaan sedia ada yang diberi kepada saya untuk saya pilih di bawah akta kerajaan. Bukan suruh kerajaan belanja untuk beli bagi saya,” kata beliau.
Sebelum media melaporkan permohonan Najib untuk sebidang tanah seluas 1.13 hektar daripada kerajaan untuk aset berkenaan yang dikatakan terletak di sebuah lokasi di Petaling Jaya.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menggulung perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat mengesahkan bahawa kerajaan menerima permohonan daripada Najib bagi mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.
Selain itu, beliau berkata, tidak cukup dengan itu, beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut dijadikan bahan jenaka dalam sebuah program komedi, selain gambar Rosmah disunting seperti karakter Squid Game.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: