Pertahan Keputusan Anwar Ibrahim Jadi Menteri Kewangan, Ini Penjelasan Rafizi Ramli

YB Mohd Rafizi Ramli telah melangsungkan sidang media pertama beliau hari ini selepas dilantik memegang jawatan sebagai Menteri Ekonomi Malaysia pada 2 Disember lalu.

Sekiranya anda menonton sidang media tersebut, Ahli Parlimen Pandan itu memaklumkan beliau tidak berminat untuk mengadakan sambutan clock in yang sudah menjadi budaya menteri di Malaysia sebaliknya beliau akan terus melakukan tugas sebagai Menteri Ekonomi.

Ini kerana Rafizi perlu meneliti satu persatu tugas yang perlu diselesaikan sebelum mengumumkan sebarang polisi ekonomi dan ia bakal diumumkan dalam beberapa minggu atau bulan mendatang.

Rafizi Ramli. Sumber: The Star

Anwar Ibrahim dilantik sebagai Menteri Kewangan

Selepas mengambil kira keadaan luar biasa semasa di mana tiada parti atau gabungan yang berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Rafizi menjelaskan pelantikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan adalah pilihan yang disifatkan sesuai ketika ini.

Memetik laporan Berita Harian, Rafizi berkata secara ideal baginya jawatan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewangan patut dipisahkan dan beliau kekal dengan pendirian itu.

Dengan keadaan sekarang di mana ekonomi berada dalam situasi mencabar, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagaimanapun berkata situasi ini berkehendakkan Perdana Menteri turut menyandang jawatan Menteri Kewangan.

Anwar Ibrahim. Sumber: Kosmo Digital

“Oleh sebab situasi luar biasa ketika ini, keputusan Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan bagi saya sesuai buat masa sekarang supaya tak timbul isu dengan gabungan parti berbeza dalam kerajaan.

Pada pandangan saya, satu keputusan sangat sukar telah diambil kerana bila kita ada gabungan-gabungan yang masing-masing bentuk kerajaan, dah tentu setiap komponen (parti) mahu jawatan Menteri Kewangan itu berada di pihak mereka.

Contoh ada orang daripada Pakatan Harapan (PH) jadi Menteri Kewangan, ia akan jadi masalah kepada Barisan Nasional (BN). Kalau Menteri Kewangan daripada BN, ada masalah kepada PH,” tambahnya.

Apa pendapat anda pula? Anda boleh tonton video penuh di bawah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: