Permintaan Khidmat Jurukamera Dasar Laut Semakin Meningkat, Buka Peluang Pasaran Baharu

Sempena sambutan Hari Laut Sedunia pada hari ini, kami kongsikan kepada anda informasi berkaitan dengan salah satu bidang pekerjaan dasar laut yang sedang mendapat permintaan tinggi.

Khidmat jurukamera dasar laut mempunyai peningkatan pasaran sekali gus membuka peluang yang luas kepada mereka yang meminati bidang fotografi dan videografi untuk menambah kemahiran mereka.

Perkhidmatan ini bukan sahaja untuk tujuan rekreasi, namun ia juga diperlukan bagi tujuan komersial yang memerlukan kepakaran jurukamera ini untuk mendapatkan gambar atau visual yang bermutu serta boleh mengendalikannya di dasar laut.

Permintaan perkhidmatan ini semakin meningkat ketika ini namun profesyen tersebut masih belum dipelopori ramai.

Berdasarkan temubual Astro AWANI bersama beberapa jurukamera dasar laut, kebanyakan mereka ini memulakan kerjaya dengan menjadi jurukamera di darat terlebih dahulu sebelum menambah kemahiran bagi dasar laut serta memahami ciri fotografi dalam laut.

Ini bagi memahami bagaimana pengendalian kamera dan situasi di dalam laut untuk menghasilkan gambar atau video yang lebih berkualiti tinggi.

“Di dasar laut, mungkin fungsi sama seperti ada aperture, shutter speed, tapi pergerakan kamera dan penataan lampu sangat berbeza sebagaimana kita praktikkan di darat.

Pemahaman mengenai ciri lautan itu juga perlu seperti kemampatan air dan itulah menyebabkan kita ada limitasi terutama untuk mendapatkan gambar berkualiti,” jelas salah seorang jurukamera dasar laut, Mohamed Raziff Md Yusof.

Antara kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang jurukamera dasar laut adalah dengan memiliki lesen selam scuba. Selain itu, mereka juga memerlukan pengalaman selaman yang banyak bagi mendapatkan keapungan yang baik.

“Keapungan (buoyancy) yang bagus diperlukan supaya lebih mudah bergerak dan senang untuk mengendali peralatan.

Kita juga perlukan ketenangan untuk dapatkan visual menarik dan tidak perlu terkejar untuk mendapatkan visual itu,” jelas jurukamera dasar laut, Muhammad Nur Arif Supardi.

Setiap jurukamera ini juga perlu mengadaptasi kepada keadaan semasa untuk mendapatkan hasil yang baik serta membuat penilaian risiko bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Sehubungan dengan itu, nilai untuk mendapatkan perkhidmatan ini sememangnya tidaklah seperti perkhidmatan jurukamera di darat.

Ia bersesuaian dengan kos kamera serta peralatan yang mencecah puluhan ribu ringgit serta kemahiran yang ditawarkan oleh jurukamera ini.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber: