Perkenalkan ‘Homework’ Kepada Dunia, Ini Kisah Horace Mann

Seorang ahli politik dan tokoh pendidikan Amerika Syarikat bernama Horace Mann dipercayai telah memainkan peranan utama dalam sejarah kerja sekolah.

Pada abad ke-19, semua pelajar yang menghadiri sekolah Volksschule diwajibkan untuk menyiapkan tugasan kerja sekolah di rumah mengikut waktu mereka sendiri.

Horace melihat sistem Volksschule ini ketika melancong di Jerman pada tahun 1843 dan membawa pulang beberapa konsep yang diamalkan di negara itu termasuk kerja sekolah ke Amerika Syarikat.

Larangan kerja sekolah pada tahun 1900-an

Sumber: NBC News

Kerja sekolah pernah diharamkan di sekitar Atlantik dan California, Amerika Syarikat pada tahun 1901. Larangan itu dikenakan terhadap semua pelajar di bawah umur 15 tahun dan ia berkuat kuasa sehingga tahun 1917.

Pada waktu yang sama, media tempatan turut mengeluarkan kenyataan daripada ibu bapa dan golongan profesional bidang perubatan yang telah diterbitkan untuk menggambarkan kerja rumah sebagai sesuatu yang memudaratkan kesihatan kanak-kanak.

Kerja sekolah sebagai buruh kanak-kanak pada 1930

Sebuah organisasi yang dikenali sebagai Persatuan Kesihatan Kanak-Kanak Amerika mendakwa kerja rumah sebagai salah satu buruh kanak-kanak pada tahun 1930.

Disebabkan undang-undang menentang buruh kanak-kanak baru sahaja diluluskan pada waktu itu, pengisytiharan persatuan itu mencerminkan persepsi negatif orang ramai terhadap kerja sekolah.

Kerja sekolah selepas Perang Dunia Kedua

Sputnik 1. Sumber: National Geographic

Pelancaran Sputnik 1 iaitu satelit buatan pertama yang dihantar untuk mengelilingi orbit bumi pada tahun 1957 membuatkan persaingan antara rakyat Rusia dan Amerika Syarikat termasuk golongan belia semakin meningkat.

Kementerian Pendidikan Amerika Syarikat memutuskan bahawa tindakan memberikan kerja sekolah yang banyak adalah cara terbaik untuk memastikan para pelajar tidak ketinggalan jauh di belakang terutamanya dalam mata pelajaran sains dan matematik.

Pada awal abad ke-21, ramai pendidik dan orang awam mula menyuarakan kembali impak negatif kerja sekolah terhadap kanak-kanak. Sehingga ke hari ini, isu kerja sekolah masih menjadi topik perdebatan hangat dalam masyarakat. Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: