Percintaan Masyarakat Indonesia: Kahwin Campur Agama

Definisi perkahwinan campur pada asalnya telah diperkenalkan oleh pihak Gereja Katolik untuk menggambarkan perkahwinan antara penganut Katolik dan juga bukan Katolik. Namun, menurut fahaman dalan agama Islam, perkahwinan campur berlaku di antara dua pihak yang mempunyai latar belakang bangsa, agama mahupun warganegara yang berbeza. Ramai anak-anak muda yang lahir daripada perkahwinan itu terumbang-ambing tidak tahu sama ada ingin menjadi seorang yang beragama Islam atau beragama Kristian. 

Punca utama masalah kepada isu perkahwinan campur di Indonesia adalah undang-undang. Undang-undang mempunyai cara takrifan yang membawa maksud berbeza. Undang-undang perkahwinan Indonesia 1974 telah menjelaskan hal ini iaitu sekiranya sesuatu perkahwinan tersebut dilangsungkan menurut tuntutan agama dan kepercayaan kedua-dua pihak, maka perkahwinan tersebut dianggap sebagai sah. 

Kepercayaan kedua-dua pihak inilah yang dijadikan sebagai hujah dan alasan bagi mana-mana pasangan yang masih ingin melangsungkan perkahwinan berlainan agama. 

Oleh kerana tiada perincian lanjut yang menyebut tentang larangan perkahwinan campur yang melibatkan seorang Muslim, maka segelintir masyarakat Indonesia mengambil peluang menggunakan kelompongan ini untuk melangsungkan perkahwinan tanpa mempedulikan tuntutan syariat. 

Kisah yang menggemparkan negara Indonesia pada tahun 1986 apabila pelakon dan penyanyi terkenal, Jamal Mirdad yang beragama Islam memilih untuk berkahwin dengan pasangannya yang juga merupakan seorang pelakon terkenal, Lydia Kandou yang merupakan seorang penganut agama Kristian Protestan. 

Namun, tidak dapat dinafikan perkahwinan selama 27 tahun yang dikurniakan empat orang cahaya mata itu akhirnya menemui penghujungnya pada tahun 2013. Dua orang daripada cahaya mata mereka telah mengikut jejak langkah ibu dan ayahnya yang turut masuk dalam bidang seni, iaitu Nana dan Naysilla Mirdad. 

Walau bagaimanapun, kedua-duanya memilih untuk mengikut pegangan ibu mereka yang menganut agama Kristian Protestan, sementara dua lagi adik beradik mengikut ayahnya menganut agama Islam.

Kisah perkahwinan campur ini tidak berhenti setakat itu sahaja. Baru-baru ini, pelakon terkenal iaitu Audi Marissa yang beragama Islam telah menamatkan zaman bujangnya bersama Anthony Xie seorang pelakon yang menganut agama Kristian pada 12 September 2020. 

Kes tersebut telah dibawa ke Mahkamah Agung Indonesia untuk dibicarakan dan keputusan mahkamah sendiri memutuskan undang-undang perkahwinan Indonesia tidak mempunyai penerangan yang jelas, sama ada perkahwinan campur dibenarkan atau dilarang.

Penulis:

  • Nur Anis Zulaiqha Binti Ahamat adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.