Hari raya tiba-tiba. Kalau ingin disimpulkan raya tahun 2022 ini, itulah perkataan yang tepat bagi menggambarkan suasananya.
Namun, walaupun sedikit kalut dan tidak bersedia kerana tarikh yang berubah tiba-tiba, rakyat Malaysia masih mampu menyambutnya seperti biasa memandangkan kini negara kita sudah pun membenarkan semua bebas bergerak seperti biasa.
Dalam menyambut lebaran ini, pernah tak anda tertanya-tanya bagaimana komuniti yang di luar Malaysia pula menyambutnya?
Dalam setiap sambutan mesti ada adatnya. Berbeza tempat maka berbeza juga cara mereka menyambutnya. Hari ini penulis ingin kongsikan 4 tradisi unik negara lain menyambut hari raya mereka.
1. Indonesia
Warga Indonesia di Bali mempunyai satu tradisi yang agak unik setiap kali menyambut hari raya Aidilfitri. Amalan tersebut dinamakan ‘Perang Topat’.
Walaupun dinamakan ‘perang’, amalan ini tidaklah seganas yang disangka. Malah aktiviti membaling ketupat antara satu sama lain ini adalah simbolik perpaduan di antara dua kaum.

Perang baling ketupat ini biasa diadakan pada 7 Syawal atau hari terakhir pada minggu pertama Syawal. Kalau berasa nak sertai perang ketupat ini, tempahlah tiket untuk beraya di Indonesia.
2. Afghanistan
Selain Indonesia, Afghanistan juga mempunyai tradisi yang melibatkan ‘perang’ makanan namun tradisi ini melibatkan telur rebus.
Tradisi yang dinamakan ‘Tokhm-Jangi’ ini selalunya disertai oleh golongan lelaki.
Kebiasaannya, setiap keluarga akan merebus 200 biji telur yang kemudiannya akan diwarnakan dengan pelbagai warna.
Pada hari sambutan mereka akan melemparkan telur tersebut kepada satu sama lain Siapa yang masih berbaki telur pada akhir perlawanan akan dinobatkan sebagai pemenang.

3. Turki
Kalau di Turki tradisi unik yang mereka raikan setiap kali Aidilfitri tidak jauh beza daripada sambutan ‘Halloween’. Atau lebih tepat aktiviti ‘Treat or trick’.
Dalam tradisi mereka, kanak-kanak akan pergi menziarahi rumah jiran tetangga dan sanak saudara kemudiannya meminta manisan tradisional.
Sambutan unik ini biasanya diadakan pada hari-hari terakhir bulan Ramadan. Kanak-kanak akan pergi melawat warga emas atau golongan yang lebih berusia kemudian akan bersalaman dengan mereka sebagai tanda hormat.

4. India
Di India pula, perayaan Aidilfitri dikenali sebagai ‘Chaand Raat’ yang bermaksud ‘malam anak bulan’.
Kebiasaannya, pada malam raya ini umat Islam di sana akan berkumpul beramai-ramai di kawasan lapang untuk melihat anak bulan.
Sambil melihat anak bulan mereka turut akan memakaikan inai sama ada di tangan atau kaki atau kedua-duanya sekali. Pada malam itu juga mereka akan bertukar buah tangan dalam pelbagai bentuk antaranya duit dan manisan.

Kesimpulan
Walaupun mungkin adat dan cara sambutan negara-negara ini sedikit berbeza daripada kita namun tujuannya tetap sama, iaitu untuk merapatkan ukhuwah dan silaturrahim di antara kita semua.
Moga raya tahun ini dapat menyatukan dan mengeratkan lagi hubungan kita semua. Terutama di antara sanak saudara yang sudah lama tidak berjumpa kerana Covid-19.
Selamat hari raya!
Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: