Penyembunyian Hukuman Mati Secara Terbuka Di Korea Utara

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dilaporkan bahawa Korea Utara semakin memperketatkan sekuriti mereka bagi mengelakkan kebocoran maklumat mengenai hukuman mati secara terbuka yang dijalankan di sana.

Pyongyang, ibu kota negara tersebut sudah sekian lama dituduh menggunakan hukuman bunuh bagi menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduknya.

*gambar hiasan

Dalam usaha untuk mendokumentasikan pelanggaran hak asasi manusia dan mencari keadilan untuk mangsa hukuman mati tersebut, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO), Kumpulan Kerja Keadilan Peralihan (TJWG) telah menyiasat dan mengkaji dengan lebih lanjut berkenaan perlaksanaan hukuman mati awam itu.

Berpengkalan di Seoul, mereka telah menganalisis imej satelit dan mengumpul keterangan mengenai 23 hukuman mati secara terbuka semasa era Kim Jong Un.

Mereka mendapati sehubungan dengan peningkatan penelitian antarabangsa terhadap rekod hak asasi manusia mereka, negara itu kini makin berhati-hati dalam melaksanakan hukuman ini agar maklumat mengenainya tidak terdedah kepada dunia luar.

Kumpulan Kerja Keadilan Peralihan (TJWG)

“Dalam beberapa tahun ini, Korea Utara telah memilih secara strategik tempat-tempat yang jauh dari kawasan sempadan untuk melakukan hukuman mati.

“Pemantauan dan kawalan penonton yang berada di acara ini diperketatkan untuk mengelakkan maklumat mengenai hukuman mati awam daripada bocor di luar negara

“Hasil penemuan kami, ia menunjukkan bahawa rejim Kim Jong Un memberi lebih perhatian kepada isu hak asasi manusia sebagai tindak balas kepada peningkatan penelitian antarabangsa,” lapor NGO tersebut.

Namun misi TJWG untuk mendokumentasikan secara menyeluruh mengenai hukuman mati awam masih belum tercapai dan kini, dengan kehadiran pandemik COVID-19 telah menambahkan lagi kesukaran untuk mereka.

“Penutupan hampir keseluruhan sempadan Korea Utara semasa pandemik COVID-19 telah mengurangkan dengan ketara maklumat yang keluar dari negara itu, menjadikannya sukar untuk mendokumentasikan pelanggaran hak asasi dalam tempoh itu.”

Pandemik menyukarkan pendokumentasian hukuman mati awam di Korea Utara. *gambar hiasan

Untuk menimbulkan ketakutan dalam rakyatnya, pemimpin Kim telah menghukum mati pembantu dan menteri utama pada masa lalu. Salah satunya ialah bapa saudaranya sendiri Jang Song Thaek pada tahun 2013.

Menurut laporan TJWG, selain daripada menghukum menteri dan orang besar, tujuh daripada hukuman mati awam adalah disebabkan menonton atau mengedarkan video Korea Selatan yang diharamkan oleh Pyongyang.

Melaksanakan hukuman tersebut, Korea Utara berkata ia menghormati hak asasi manusia, dan telah menolak dakwaan pencabulan hak sebagai pembohongan oleh golongan pembelot.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: