Penjimatan Kos Sara Hidup, Manfaat Berkebun Di Rumah

manfaat berkebun

Aktiviti berkebun dari rumah merupakan salah satu perkara yang banyak memberi manfaat kepada diri sendiri mahupun alam sekitar.

Tidak semestinya pokok bunga sahaja malah tanaman seperti sayur-sayuran dan pokok buah-buahan juga boleh menghiasi kebun anda.

Sudah menjadi kebiasaan berkebun ini dijadikan sebahagian daripada gaya hidup sejak zaman dahulu lagi.

Walaupun kini kehidupan di bandar menjadi cabaran utama kerana tiada ruang yang sesuai terutamanya kediaman jenis kondominium.

Namun begitu, kemajuan sistem penanaman juga semakin meningkat saban hari yang memudahkan kegiatan berkebun seperti teknik hidroponik. Ini bertepatan dengan perumpamaan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.  

Peningkatan harga barang baru-baru ini banyak mengusarkan orang ramai dalam perbelanjaan kos sara hidup mereka. Hasil sayuran daripada berkebun sebenarnya mampu menjimatkan wang dalam perbelanjaan dapur harian.

Tambahan pula, ada sesetengah orang yang berjaya menghasilkan pendapatan sampingan dengan berkebun.

Apabila berkebun di rumah, kita dapat melihat sendiri hasil tanaman dan pastinya tidak akan mensia-siakan hasil titik peluh kita. 

Hasil buah-buahan dan sayuran memang dijamin segar dan bebas racun serangga perosak. Ini kerana tanaman sendiri agak berbeza kualitinya dari yang beli di pasar.

Selain itu, minat berkebun juga merupakan satu hobi yang menjadi terapi jiwa. Memghabiskan waktu dengan alam semula jadi mampu memberikan kesegaran yang luar biasa kepada minda.

Kehijauan tumbuh-tumbuhan cukup menenangkan fikiran dan merasakan diri bebas dari tekanan masalah dan kesibukan lain.

Secara tidak langsung aktiviti ini turut menyihatkan tubuh badan kerana membantu tubuh mengeluarkan peluh.

Begitulah kenikmatan berkebun yang dapat dirasai jika mengamalkannya. Alangkah ruginya jika kita tidak memanfaatkannya dengan sebaik mungkin.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber: