Penjenayah Paling Berkuasa Sepanjang Zaman, Ini Kisah Pablo Escobar

Pablo Emilio Escobar Gaviria adalah satu nama yang sangat digeruni oleh kerajaan Colombia pada suatu ketika dahulu. Disebabkan sifatnya yang agresif dan tidak mempunyai hati perut, Pablo telah menjadikan Colombia dan Amerika Syarikat lubuk kokainnya. Kami akan kongsikan kisah Pablo menerusi artikel ini:

Pablo jadi ahli politik

Sumber: Noiser

Aktiviti jenayah Pablo bermula dengan mencuri kereta di jalanan. Beliau kemudiannya mula belajar selok-belok penyeludupan dadah. Dari situ, lelaki itu mula mengawal pasaran rokok seludup di Colombia. Pablo mula berkuasa pada sekitar 1970-an. Pada masa itu juga, Colombia telah menjadi tapak utama penyeludupan ganja.

Dengan anggaran kekayaan sebanyak RM133 bilion, majalah Forbes telah menyenaraikan Pablo sebagai salah seorang daripada 10 manusia terkaya di atas muka bumi selama tujuh tahun berturut-turut iaitu dari tahun 1987 sehingga 1993.

Pablo sungguh kaya sehingga dikatakan pernah membakar wang tunainya untuk memanaskan badan anak perempuannya yang kurang sihat. Selain itu, lelaki berkenaan juga pernah menawarkan $10 bilion (RM40,430,000,000) kepada kerajaan Colombia untuk melangsaikan hutang negara mereka.

Apa yang beliau mahukan sebagai balasan adalah undang-undang ekstradisi dihapuskan. Walaupun pihak berkuasa sudah tahu tentang perniagaan kartel Pablo, tiada siapa yang berani menentangnya.

Pada tahun 1982, Pablo telah dilantik sebagai ahli kongres Colombia. Walau bagaimanapun, ia tidak bertahan lama kerana Menteri Keadilan pada waktu itu iaitu Rodrigo Lara telah mendedahkan identiti sebenar Pablo kepada umum. Dalam erti kata lain, ia telah meletakkan titik noktah pada kerjaya Pablo sebagai ahli politik.

Kerajaan Colombia isytihar perang terhadap Pablo

Apabila Pablo berada di kemuncak kerjaya jenayahnya, beliau percaya dirinya kebal dan tidak akan dapat disentuh oleh sesiapa.

Pada 6 November 1985, Pablo telah mengarahkan kumpulannya menyerang Mahkamah Persekutuan Colombia. Tragedi itu telah meragut nyawa 12 orang hakim.

Mereka telah menghapuskan semua rekod jenayah berkenaan penyeludupan dadah. Disebabkan berang dengan insiden tersebut, kerajaan Colombia telah mengisytiharkan perang terhadap Pablo.

Pablo tidak berdiam diri

Selepas hampir semua hartanya telah disita oleh kerajaan Colombia, Pablo telah melancarkan serangan keganasan yang berlanjutan selama lima bulan.

Dalam tempoh masa tersebut, Pablo telah menamatkan riwayat Luis Carlos Galan iaitu calon presiden Colombia. Ia telah membuat kerajaan Colombia semakin nekad untuk memburu Pablo sehingga mengeluarkan poster pemburuan penjenayah berkenaan dan menawarkan wang ganjaran sebanyak $1 juta (RM4.04 juta) kepada sesiapa yang berjaya menangkap individu tersebut.

Satu perkara tentang Pablo adalah beliau langsung tidak takut dengan kerajaan Colombia. Sebagai respons, beliau telah menawarkan ganjaran kepada sesiapa sahaja yang mengambil nyawa anggota polis di seluruh Colombia.

Pablo akhirnya serah diri

Pada Jun 1991, Pablo telah menyerah dirinya kepada kerajaan Colombia. Sebagai ganti, Pablo mahu ancaman ekstradisi terhadapnya dihapuskan dan dibenarkan untuk membina penjara mewah yang diberi nama La Catedral. Selepas berada dalam penjara selama satu tahun, Pablo berjaya melarikan diri.

Pada 2 Disember 1993, beliau telah ditembak ketika cuba melarikan diri dari tempat persembunyiannya. Kesahihan tragedi itu masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini kerana terdapat pelbagai versi tentang bagaimana riwayat Pablo berakhir.

Meskipun kerajaan Colombia menyambut pemergian Pablo dengan gembira, ramai juga yang meratapi pemergian lelaki berkenaan. Walaupun beliau adalah seorang penjenayah yang berbahaya, Pablo telah membuat banyak kebaikan seperti membina hospital, rumah untuk orang miskin dan gereja.

Penulis:

  • Arif Aiman Asrol adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: