Perkataan hotel diambil daripada perkataan bahasa Perancis iaitu ‘ostel’. Pada mulanya ia merujuk kepada rumah agam yang dijadikan lokasi penginapan. Sementara hospital pula yang pada asalnya merujuk kepada rumah tetamu kini digunakan untuk merujuk kepada lokasi pesakit mendapatkan rawatan.
Terdapat beberapa hotel pelik yang wujud di serata dunia dan menawarkan penginapan tetapi datang dengan syarat pelik untuk penghuninya. Berikut adalah lima hotel paling pelik yang ada dan boleh anda kunjungi, jika anda mahu.
Dua hotel aneh di Sweden

Mikael Genberg, ahli perniagaan dan pereka Sweden, cukup gemar mencipta gimik dalam menggabungkan kediaman untuk hotel dan rekaan aneh.
Salah satu rekaan beliau yang paling terkenal adalah Hotel Oops yang terletak ‘dalam’ Tasik Malaren di Vastera, Sweden. Keunikan hotel ini adalah separuh daripada rumah dua tingkat itu terletak di bawah air.
Bagaimanapun, hanya bahagian atas rumah itu digunakan sementara bahagian bawahnya pula hanyalah tapak rumah, yang direka seakan-seakan tingkat bawah rumah sebenar.
Jika pengunjung benar-benar mahu ‘duduk’ dalam air, satu lagi rekaan Genberg yang terletak tidak jauh dari Hotel Oops.
Dibina untuk terapung di sekitar tasik, bilik atas hotel tersebut terletak di atas permukaan air. Sementara bilik bawahnya pula berada di bawah air, membolehkan pengunjung menikmati pemandangan dalam air tasik tersebut 24 jam sehari.
Untuk mengakses kedua-dua hotel, pengunjung perlu menaiki bot terlebih dahulu.
Hotel penjara

Terdapat banyak kompleks penjara yang akhirnya ditukarkan menjadi hotel di seluruh dunia. Satu kompleks yang paling terkenal adalah Hotel Langholmen, yang terletak di Stockholm, Sweden.
Pada tahun 1649, ia dibuka sebagai sebuah residen, kerajaan Sweden terdahulu menukarkan residen itu sebagai penjara untuk pesalah wanita pada tahun 1724 dinamakan penjara Kronohaktet.
Bangunan itu diperbesarkan bagi menampung jumlah banduan yang meningkat pada tahun 1840 dan penjara itu kekal digunakan selama beberapa dekad sebelum ditutup pada tahun 1975.
Hanya pada tahun 1989 selepas beberapa bahagian kompleks penjara itu rosak dan mula mereput, bangunan itu diubah suai menjadi hotel yang dinamakan Langholmen’s Hotel and Youth Hostel lengkap dengan kemudahan dewan persidangan.
Semua pengunjung hotel ini akan menginap di salah satu lokap banduan yang telah diubah suai, disertakan kemudahan televisyen, meja dan kerusi serta paparan rekod-rekod pesalah yang pernah tinggal di situ terlebih awal.
Hotel Henn-na, Jepun

Dibuka pada tahun 2015 dan tidak apa-apa yang aneh berkenaan kompleks hotel ini dari segi luarannya.
Namun, apabila anda melangkah ke dalam hotel tersebut, anda akan menyedari keganjilannya.
Seramai 250 pekerja yang menguruskan hotel tersebut adalah robot, direka bentuk menyerupai manusia dan juga ada yang dibuat ibarat seekor dinosaur.
Selain itu, ia mampu menempatkan 250 orang pengunjung dalam satu-satu masa dan hotel tersebut menjadi ujian eksperimen proses automasi yang dijalankan dalam mengkaji keberkesanan robot untuk melakukan tugas manusia.
Malangnya kos mengendalikan hotel ini dikatakan meningkat tahun demi tahun, disebabkan oleh masalah yang dihadapi pihak pengurusan yang perlu memperbetulkan ketidaksempurnaan robot-robot dalam menyelesaikan tugasan mereka, memerlukan campur tangan manusia.
Pada tahun 2019, pengurusan hotel tersebut ‘memecat’ lebih separuh pekerja robot yang ada digantikan dengan manusia sebenar bagi merendahkan kos.
Antara masalah yang dihadapi pengunjung adalah penyambut tetamu yang tidak faham bahasa semasa melakukan tempahan dan pekerja hotel robotik yang sering mengganggu tetamu di waktu pagi, kerana tidak tahu membezakan bunyi dengkuran atau panggilan.
Kabin kayu pergunungan Julian Alps, Itali

Kabin kayu ini terletak pada ketinggian 8,300 kaki di kawasan pergunungan Julian Alps.
Difahamkan, kabin kayu ini menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada sesiapa saja yang dapat hadir ke situ.
Dibina bermula pada tahun 2012 sebagai memorial kepada seorang pendaki Itali bernama Luca Vuerich yang terkorban oleh ahli keluarganya.
Pembinaan kabin ini memerlukan bahan-bahan yang diangkut naik menggunakan helikopter sebanyank 18 kali, malah selamat disiapkan dalam hari yang sama.
Rekaannya yang berbentuk segi tiga dengan tujuan untuk memudahkan salji jatuh dan mampu menempatkan 9 orang dalam satu-satu masa.
Hotel satu malam RM3.85

Berbanding semua hotel dalam senarai ini, hotel yang terletak di Asahi Ryokan, Jepun ini adalah yang paling murah.
Hanya dengan bayaran RM3.85 untuk satu hari penginapan, anda dapat duduk di bilik yang selesa walaupun agak ringkas fasilitinya.
Dengan syarat, anda membenarkan semua aktiviti anda dalam bilik anda distrim secara langsung tanpa henti ke saluran Youtube hotel tersebut!
Gimik perniagaan itu diperkenalkan oleh pemilik hotel tersebut yang mendapati perniagaan keluarganya mula merosot.
Bagaimanapun syarat itu hanya terhad kepada satu bilik sahaja iaitu bilik nombor 8 kompleks penginapan itu.
Tidak ramai pengunjung yang sanggup menerima tawaran tersebut. Untuk mereka yang berani, mereka tidak perlu risau dengan privasi mereka.
Hanya video saja distirm tanpa rakaman audio. Semua aktiviti bersifat seksual tidak dibenarkan berlaku.
Walaupun kurang digunapakai, populariti bilik nombor 8 ini menyebabkan banyak pihak cuba menggodam kamera yang terpasang memaksa pengurusan hotel berkali-kali mencipta saluran baru di Youtube.
Bilik ini juga semakin hari semakin mendapat tempat di kalangan anak muda Jepun yang mahu mencari jalan mencipta populariti di media sosial, menggunakannya sebagai platform untuk berinteraksi dengan pengikut secara langsung bersandarkan gimik hotel yang dilaksanakan.
Jika anda nak lihat aksi pengunjung bilik hotel itu, anda boleh buka saluran rasmi hotel tersebut di Youtube.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: