Penghibur Yang Dilahirkan Berkaki 3, Ini Kisah Frank Lentini

Dilahirkan pada 18 Mei 1889 di Sicily di Itali, Francesco Letini ataupun lebih dikenali sebagai Frank adalah anak kelima daripada 12 adik-beradik dan mempunyai tiga kaki, empat tapak kaki, 16 jari kaki dan dua zakar.

Memetik laporan All That’s Interesting, Frank lahir dalam keadaan unik di mana dia mempunyai kembar parasit bercantum dengan badannya di bahagian bawah tulang belakangnya.

Frank cuba membuang kaki ketiganya semasa dia kecil

Sumber: Ranker

Kaki ketiga Frank bercambah dari sebelah pinggul kanannya dan tapak kaki keempatnya menonjol dari lutut kaki ketiganya. Keadaan Frank ini berpunca daripada janin kedua yang mula terbentuk dalam rahim tetapi akhirnya tidak dapat berpisah daripada kembarnya.

Janin yang selamat ataupun Frank dalam kes ini akan menyerap bahagian tubuh kembarnya sehingga dia mengalami penambahan organ yang sukar dijangka.

Ibu bapa Frank iaitu Natale dan Giovanna membawanya bertemu doktor pakar untuk sekurang-kurangnya membuang kaki ketiganya semasa dia berusia empat bulan.

Walau bagaimanapun, doktor itu mengesahkan kepada Natale dan Giovanna bahawa anak mereka sememangnya bercantum dengan kembar parasit.

Memetik laporan Historic Mysteries, doktor itu berkata kaki ketiga Frank bercantum dengan tulang belakangnya jadi ia agak mustahil untuk membuangnya.

Sekiranya membuang kaki ketiganya, mereka risau Frank akan berdepan risiko lumpuh atau meninggal dunia. Disebabkan stigma yang Frank hadapi sepanjang dia membesar, Natale dan Giovanna akhirnya membuat keputusan sukar untuk menghantar anak mereka tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya untuk sementara waktu.

Frank menyertai sarkas

Ranker melaporkan seorang penggerak boneka bernama Vincenzo Magnano bertemu Frank ketika dia berusia enam tahun. Vincenzo meminta kebenaran daripada ibu bapa Frank untuk membawa kanak-kanak itu ke Amerika Syarikat.

Vincenzo menerima persetujuan daripada Natale dan Giovanna untuk membawa Frank ke sana dengan syarat mereka dapat berhijrah ke Amerika Syarikat sekali bersama anaknya.

Selepas kempen promosi dijalankan, Frank dipilih menyertai karnival teater jalanan kendalian Vincenzo.

Lentini yang hebat

Frank berjaya mencuri perhatian orang ramai apabila dapat membuat aksi-aksi seperti menendang bola, melompat tali, meluncur dan berbasikal menggunakan kaki ketiganya.

Selain kemahirannya dalam bersukan, Frank merupakan seorang yang lucu dan tidak malu untuk bercerita tentang keanehan tubuh badannya secara terbuka.

Sepanjang kerjayanya yang bertahan melebihi 40 tahun, Frank telah bekerja bersama semua sarkas utama dan pertunjukan sampingan di Amerika Syarikat. Frank dilihat mampu menggunakan ‘kelebihannya’ untuk membina kerjaya yang sangat gemilang buat dirinya.

Usia panjang yang tidak disia-siakan

Frank menghabiskan sisa hidupnya di Gibsonton, Florida, Amerika Syarikat bersama pasangannya iaitu Helen Shupe. Gibsonton ialah sebuah pekan yang didiami oleh ramai penghibur seperti Frank yang berpindah ke sana selepas mereka bersara daripada kehidupan sarkas.

Turut dikenali sebagai Gibtown, ia merupakan rumah untuk penghibur seperti Percilla Bejano (The Monkey Girl), Emmitt Bejano (The Alligator Man) dan keluarga Lobster.

Lelaki itu meneruskan kerjayanya sebagai seorang penghibur di Gibsonton sehingga penyakit paru-paru mula membataskan pergerakannya. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 21 September 1966 kerana jangkitan paru-paru tahap kritikal ketika berusia 77 tahun.

Reputasinya sebagai seorang penghibur terus diingati sehingga ke hari ini. Berikutan sumbangannya kepada dunia hiburan, The Greatest Showman turut mengabadikan namanya sebagai salah satu watak dalam filem itu.

Jonathan Redavid sebagai Frank Lentini (berbaju biru). Sumber: Into Film

Kerjaya dan gelagat Frank sebagai seorang penghibur dilakonkan semula oleh Jonathan Redavid dalam filem itu untuk tontonan masyarakat moden yang tidak sempat mengenali lelaki berkaki tiga ini.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: