Kisah tragedi seorang pengantin perempuan yang telah dibunuh di tangga gereja beberapa minit setelah dia dikahwinkan masih dipercayai oleh penduduk Dartmoor.
Kisah Mary Whiddon ini telah menghantui sebuah pekan bernama Chagford di Dartmoor sejak kematiannya pada 11 Oktober 1641.
Pengantin muda itu baru sahaja dikahwinkan di Gereja St. Michael the Archangel ketika sedang berdiri di luar gereja bersama suaminya yang sedang disambut oleh tetamu yang hadir.
Dengan tidak semena-mena, sebuah tembakan telah dilepaskan dan Mary rebah dengan tompokan darah pada gaun putihnya di bahagian dadanya.
Dalam hanya masa beberapa saat sahaja, Mary disahkan telah meninggal dunia. Suaminya, yang baru berkahwin dengannya buat beberapa minit, hanya mampu memangku mayatnya itu.
Dalang bagi tragedi tersebut ialah seorang lelaki yang telah ditolak pinangannya oleh Mary yang telah memilih jejaka lain untuk menjadi suaminya.
Hasil daripada pinangan yang ditolak itu, lelaki itu mula berdendam dengan Mary dan bakal suaminya pada ketika itu dan ramai yang menyangka dendamnya akan berlarutan pada hari perkahwinan Mary berlangsung.
Sangkaan itu ternyata meleset sama sekali dan Mary akhirnya telah mati ditembak oleh lelaki tersebut hanya dengan sebutir peluru pada hari perkahwinannya.
Walaupun kisah ini dipercayai sebagai kisah benar oleh orang ramai tetapi kesahihan cerita ini masih belum diketahui.
Pada batu nisan Mary, terdapat sebuah tulisan yang mengatakan ‘a matron, yet a maid,’ yang bermaksud dia sudah berkahwin tetapi masih seorang anak dara dan masih muda.
Pada zaman Perang Saudara, senarai pendaftaran perkahwinan dan pengebumian telah hilang dan salah satu rekod yang terselamat hanyalah wasiat tak bertarikh kepunyaan Mary.
Kematian wanita muda itu telah meninggalkan legasi yang masih kekal di pekan itu sehingga sekarang.
Pada lantai gereja tersebut, terdapat sebuah bait puisi yang terukir sebagai tanda memperingati Mary:
“Reader wouldst know who here is laid,
Behold a matron yet maid,
A modest look, a pious heart,
A Mary for the better part,
But dry thine eyes, why wilt thou weep –
Such damsels do not die but sleep.”
Pada tahun 1971, seorang tetamu yang menghadiri sebuah majlis perkahwinan dan menetap di Whiddon Park telah melihat sebuah kelibat seorang wanita yang bergaun putih sedang berdiri di pintu biliknya.
Ramai yang percaya bahawa Mary masih menghantui kawasan tersebut selepas kematiannya.
Sesetengah orang berkata bahawa terdapat sebuah laluan rahsia daripada rumah Whiddon Park ke hotel The Three Crowns yang dihantui oleh roh Mary sehingga sekarang terutamanya di Bishop’s Room dan bahagian koridor di tingkat atas hotel The Three Crowns.
Jadi, para pasangan yang baru berkahwin sering meletakkan bunga pada kubur Mary setelah menandatangani borang pendaftaran perkahwinan.
Perkara itu dikatakan akan membawa kebahagiaan pada rumahtangga mereka dan bagi memastikan roh Mary tidak akan menghantui mereka pada masa akan datang.